Johor teruskan laksana solat sunat Istisqa', hajat

Johor teruskan laksana solat sunat Istisqa', hajat

am@hmetro.com.my

Johor Bahru : Johor terus melaksanakan solat sunat Istisqa’ dan hajat susulan keadaan cuaca panas dan kering yang berpanjangan serta paras air empangan yang semakin merosot.

Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) berkata, solat sunat Taubat juga akan turut dilaksanakan yang mana ia ditetapkan pada esok hingga Khamis ini.

“Susulan keadaan cuaca panas dan kering yang berpanjangan serta paras air empangan yang semakin merosot, Jabatan Agama Islam Negeri Johor menyeru seluruh rakyat Negeri Johor untuk bersama-sama memperbanyakkan munajat dan ikhtiar.

“Marilah kita bersama-sama bermunajat, memohon rahmat dan pertolongan Allah supaya dikurniakan hujan serta dijauhkan Negeri Johor daripada sebarang krisis bekalan air,” katanya menerusi Hebahan Pelaksanaan Solat Sunat Istisqa’ Seluruh Negeri Johor, hari ini.

Menerusi hebahan yang dikeluarkan oleh Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau JAINJ itu solat sunat Taubat dan solat sunat Istisqa’ akan dilaksanakan di kawasan empangan atau kawasan lapang yang bersesuaian dekat daerah Pontian dan Kluang pada waktu Dhuha iaitu 9 pagi bermula esok sehingga Khamis ini.

Solat sunat hajat bagi memohon diturunkan hujan pula akan diadakan juga bermula esok hingga Khamis ini selepas solat Maghrib di seluruh masjid dan surau di negeri ini, manakala pada Jumaat akan dilaksanakan selepas solat Jumaat.

Pada tempoh tiga hari itu, program tadarus dan khatam al-Quran akan dilaksanakan di kawasan empangan dekat daerah Pontian dan Kluang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top