am@hmetro.com.my
Langkawi: Persahabatan erat sejak dua tahun lalu mendorong seorang kanak-kanak berusia 12 tahun mempertaruhkan nyawa sendiri demi menyelamatkan rakan yang hampir lemas di Pantai Pasir Hitam, di sini, Sabtu lalu.
Keberanian Faris Danish Zulfadli bertindak terjun ke laut untuk membantu Iskandar, 10, yang sudah lama dikenalinya, nyata melayakkan dia digelar ‘hero cilik’ selepas berjaya menyelamatkan nyawa rakannya itu.
Menceritakan detik cemas kira-kira 11 pagi Sabtu lalu itu, Faris berkata, dia bersama dua rakan baru selesai berjoging dan berlatih untuk acara merentas desa sebelum diajak berehat di kawasan pantai oleh Iskandar.
Katanya, Iskandar yang diketahuinya tidak pandai berenang dilihat begitu teruja teruja ke laut sebanyak lima kali untuk mandi dan menyelam sebelum kejadian berlaku.
“Saya nampak dia terjun dari atas batu besar sebanyak empat kali dan naik semula. Tetapi kali kelima dia terjun, dah tak timbul. Malah, saya nampak dia menggelupur dalam air dan pada mulanya ingat dia bergurau ajak saya mandi.
“Namun pergerakan tangannya semakin lemah dan badannya tenggelam makin dalam. Dalam hati saya mula syak dia lemas,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini, semalam.
Anak sulung daripada dua beradik itu berkata, walaupun panik, dia sempat terfikir bahawa mangsa lemas biasanya akan berpaut dan menolak orang lain ke bawah untuk bernafas, sekali gus boleh membahayakan dirinya.
Menurut Faris, selepas memikirkan persahabatannya dengan Iskandar yang sudah terjalin sejak dua tahun lalu, dia nekad terjun ke dalam air di lokasi rakannya tenggelam tanpa memikirkan risiko.
“Saya capai tangannya dan tarik ke pantai. Apabila sampai ke pantai, dia macam sudah pengsan dan nafasnya tersekat-sekat. Saya teringat ilmu pertolongan cemas yang diajar guru di sekolah.
“Saya buat bantuan pernafasan (CPR) beberapa kali. Ada air keluar dari mulut dan hidungnya. Saya juga buat bantuan pernafasan mulut ke mulut. Ini kali pertama saya buat pada mangsa betul, sebelum ini cuma latihan,” katanya.
Faris berkata, selepas berjaya memberi bantuan awal, dia menghubungi bapanya dalam keadaan menangis untuk memaklumkan kejadian sebelum seorang pelancong dipercayai warga Arab turut datang membantu.
Tidak lama kemudian, bapanya tiba di lokasi dan segera menghubungi pihak bomba, polis serta ambulans sebelum mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Maliha di sini, untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Saya rasa puas dapat tolong kawan. Dia masih dirawat di hospital dan saya harap dia cepat sembuh. Masa selamatkan dia, saya tak fikir pun nak dapat pujian, saya cuma nak selamatkan kawan,” katanya.
Faris ialah murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Penghulu Ahmad dan menjadi Ketua Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) dan Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) di sekolahnya.
Selain itu, dia juga pelatih sukan perahu layar kelas Optimist di Kompleks Latihan Perahu Layar Kebangsaan, Kelibang, di sini, serta aktif dalam acara olahraga hingga terpilih mewakili sekolah.
Katanya, kawasan kejadian terdapat beberapa batu besar yang dipenuhi teritip sehingga menyebabkan kakinya luka kira-kira 15 sentimeter ketika cuba menarik rakannya ke pantai.
“Saya anak sulung daripada dua beradik dan bercita-cita untuk masuk ke sekolah sukan dalam bidang olahraga dan menjadi tentera laut. Kejadian ini akan jadi kenangan seumur hidup saya,” katanya.
Difahamkan, mangsa hampir lemas yang diselamatkan Faris masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.
© New Straits Times Press (M) Bhd




