hafidzul@hmetro.com.my
Kajang: Polis memburu empat lelaki yang disyaki terbabit dalam kegiatan mencuri kabel milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) berhampiran Pangsapuri D’Kayangan Setia Ecohill, Semenyih, semalam.
Dalam kejadian 6.54 pagi itu, kegiatan suspek berjaya digagalkan selepas ditegur oleh penduduk setempat yang menyedari kehadiran mereka.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada hari sama.
Menurutnya, siasatan awal mendapati keempat-empat suspek menggunakan sebuah kenderaan berwarna kelabu.
“Suspek dilihat sedang memotong kabel yang disyaki milik TNB di kawasan berkenaan.
“Bagaimanapun, kumpulan lelaki terbabit bertindak melarikan diri sejurus ditegur oleh penduduk setempat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, susulan laporan yang diterima, polis kini giat mengesan semua suspek yang terbabit.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan bagi kesalahan melakukan khianat dengan memotong kabel.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Sarjan Nadzul Majdi Abu Seman di talian 017-4661 757 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




