am@hmetro.com.my
Papar: Lelaki yang hilang sejak empat hari lalu ditemukan meninggal dunia kira-kira 71 kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang, petang tadi.
Difahamkan, mangsa berusia 60 tahun itu ditemukan terdampar di Pantai Kampung Sangkabok oleh orang awam pada jam 3.20 petang.
Ahli keluarga yang menyedari maklumat berkenaan terus menghubungi pasukan bomba sebelum mangsa disahkan benar selepas pengecaman dilakukan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, Rozlan Osman berkata, operasi pencarian hari keempat dimulakan pada jam 8.20 pagi, hari ini.
Katanya, operasi pencarian dijalankan dari tempat kejadian hingga ke kawasan persisiran pantai Kampung Bundusan dan Muara Pengalat sejauh 4 kilometer dengan menaiki Bot.
“Sebaik menerima maklumat, pasukan bomba seterusnya menjalankan operasi untuk mengesahkan identiti mangsa.
“Mangsa seterusnya diserahkan polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi ditamatkan pada jam 3.23 petang,” katanya dalam kenyataan media, malam ini.
Terdahulu, dalam kejadian Isnin lalu, mangsa yang dikenali sebagai Saimin Ongit dilaporkan hilang ketika aktiviti memukat bersama rakannya di kawasan Pantai Manis sebelum bot dinaiki karam.
Bagaimanapun, rakan mangsa berjaya ditemui dalam keadaan selamat dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) terus dilaksanakan bagi mencari mangsa hilang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




