Jenazah Tun Abdul Hamid disemadikan di Taman Selatan

Jenazah Tun Abdul Hamid disemadikan di Taman Selatan

am@hmetro.com.my

Putrajaya: Jenazah bekas Ketua Hakim Negara, Allahyarham Tun Abdul Hamid Mohamad selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Presint 20, di sini, pada jam 5.50 petang ini.

Terdahulu jenazah Allahyarham yang berusia 84 tahun, disolatkan di Musolla Taman Selatan, dalam perkarangan Tanah Perkuburan Islam Presint 20.

Solat jenazah yang diimamkan Imam Masjid Mahmudiah Presint 18, Rafuwan Putra Affendi, disertai kira-kira 200 ahli keluarga dan sahabat serta kenalan Allahyarham.

Rafuwan Putra turut membacakan talkin.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyertai solat jenazah Allahyarham Abdul Hamid.

Beliau yang tiba kira-kira jam 4.50 petang tadi sebelum itu menunaikan solat Asar yang diimamkan peguam, Datuk Zulkifli Noordin.

Selain Perdana Menteri, turut menziarahi bekas Ketua Hakim Negara itu adalah Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh; Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin dan Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapha Mohamed.

Allahyarham Abdul Hamid meninggal dunia pada usia 84 tahun, hari ini, ketika dirawat di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM sejak 9 Februari lalu akibat sakit tua.

Beliau meninggalkan seorang balu, Toh Puan Hamidah Choong Abdullah, dan empat anak.

Allahyarham Abdul Hamid dilahirkan di Permatang Tinggi Bakar Bata, Kepala Batas, Pulau Pinang pada 18 April 1942.

Memulakan pendidikan awal di Sekolah Melayu Paya Keladi, Allahyarham Abdul Hamid kemudian didaftar masuk ke St. Mark’s Branch School, di Prai sebelum meneruskan pendidikan sekolah menengah di Sekolah Menengah St. Marks, Butterworth.

Selepas memperoleh gred 1 dalam peperiksaan Senior Cambridge dan Malaysian Certificate of Education yang membolehkan beliau meneruskan pelajaran ke Tingkatan Enam di St. Xavier’s Institution, Pulau Pinang.

Allahyarham kemudian melanjutkan pengajian di Fakulti Undang-undang di Universiti Singapura.

Abdul Hamid memasuki perkhidmatan kehakiman dan perundangan pada Mei 1969 dan pernah menjadi Majistret, Presiden Mahkamah Sesyen, Penolong Pengarah Biro Bantuan Guaman, Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Penasihat Undang-Undang Negeri, Peguam Kanan Persekutuan di Jabatan Hasil Dalam Negeri dan Ketua Bahagian Pendakwaan sebelum dilantik menjadi Pesuruhjaya Kehakiman pada 1990 di Pulau Pinang.

Dua tahun kemudian, Allahyarham dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi dan pada 2002 beliau dilantik menjadi Hakim Mahkamah Rayuan.

Setahun kemudian, Abdul Hamid dilantik menjadi Hakim Mahkamah Persekutuan sebelum dilantik menjadi Presiden Mahkamah Rayuan pada 5 September 2007.

Allahyarham Abdul Hamid dilantik menjadi Ketua Hakim Negara pada 11 Disember tahun sama dan berkhidmat sehingga persaraannya pada 18 Oktober 2008.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top