Mayat wanita tanpa identiti ditemukan dalam longkang

Mayat wanita tanpa identiti ditemukan dalam longkang

am@hmetro.com.my

Segamat: Penduduk gempar apabila menemukan mayat seorang wanita dalam longkang berhampiran lampu isyarat Kampung Tengah, di sini, pagi tadi.

Mayat wanita dipercayai berusia lingkungan 60-an ditemui orang awam pada jam 11.40 pagi ketika melalui lokasi terbabit lalu menghubungi polis.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Mohd Jumazanzahir Chek Ismail berkata, sejurus menerima laporan itu, polis bergegas ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas mayat terbabit mendapati tiada sebarang unsur jenayah ditemui setakat ini.

“Si mati merupakan seorang wanita namun identiti belum dikenalpasti memandangkan tiada dokumen pengenalan diri ditemui pada dirinya.

“Mayat kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Segamat untuk bedah siasat bagi mengenalpasti punca kematiannya,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Jumazanzahir berkata, sementara menunggu laporan bedah siasat, polis setakat ini mengklasifikasikan kes ini sebagai mati mengejut.

“Orang ramai mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta berhubung Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat di talian 07-9324222 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top