JASIN – Penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar atau lebih dikenali sebagai YB Dira, tidak meletakkan sebarang syarat mengenai kerusi yang bakal ditandinginya sekiranya diberi kepercayaan sekali lagi sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Khaidhirah berkata, pihaknya telah menyatakan untuk mempertahankan kerusi DUN Rim namun menyerahkan kepada pucuk pimpinan membuat keputusan terbaik.
“Saya telah menyatakan hasrat untuk menawarkan diri bertanding di tempat yang sama. Saya tak berani nak beri keputusan atau syarat.
“Kita sebagai pemimpin kena belajar jadi pengikut yang baik. Kalau diberikan ketentuan saya kena bertanding di tempat lain, saya kenalah bertanding tempat lain,” katanya kepada Sinar Harian.

Dira mengakui, beliau masih mempunyai visi besar untuk DUN Rim. Foto SINAR HARIAN/NORAFIZA JAAFAR
Beliau berkata, masih mempunyai visi besar untuk DUN Rim termasuk memperkukuh pembangunan, kebajikan dan ekonomi masyarakat tanpa menghilangkan identiti kawasan luar bandar berkenaan.
“Saya nak lihat DUN ini lebih dikenali dengan keistimewaan tersendiri, saya lihat ada nilai yang belum diangkat lagi termasuk produk tempatan serta potensi pelancongan.
“Tak perlu jadi bandar, tetapi kita boleh kekalkan nilai kekampungan dengan kehidupan yang jauh lebih baik. Saya mahu anak-anak di kawasan ini juga diberi lebih banyak peluang dalam pendidikan, sukan, seni dan bidang lain supaya mereka mampu pergi lebih jauh,” katanya.
Katanya, pengalaman hampir lima tahun sebagai wakil rakyat turut mengubah cara beliau bekerja berbanding ketika pertama kali bertanding pada PRN Melaka 2021.
Ujar beliau, antara cabaran utama ketika itu adalah untuk meyakinkan masyarakat bahawa latar belakangnya sebagai pelakon tidak menghalangnya daripada menjadi pemimpin yang mampu membantu menyelesaikan masalah rakyat.
“Orang ingat kita ini artis, jadi menang pun sebab artis atau sebab rupa. Saya tak mahu dilabel sekadar jual rupa atau nama.
“Saya mahu dikenali sebagai pemimpin yang mampu membantu mereka, termasuk menyelesaikan masalah yang mungkin nampak kecil bagi orang lain tetapi berat bagi mereka,” katanya.

Khaidhirah atau dikenali YB Dira berkata, beliau selesa mengekalkan imej sederhana termasuk gaya bertudung bawal dan berbaju kurung yang menjadi identitinya. Foto SINAR HARIAN/NORAFIZA JAAFAR
Dalam pada itu, Khaidhirah berkata, beliau selesa mengekalkan imej sederhana termasuk gaya bertudung bawal dan berbaju kurung yang menjadi identitinya.
Katanya, beliau tidak pernah menetapkan gaya tertentu semata-mata untuk membina imej politik, sebaliknya lebih percaya kepada kesederhanaan.
“Saya percaya kalau kita yakin, insya-ALLAH orang pun yakin dengan kita. Kalau saya pakai pakaian cantik tetapi saya sendiri tak yakin, macam mana saya nak yakinkan orang?
“Saya memang orang yang minimalis dan suka benda yang mudah. Saya tak pernah tetapkan trend tertentu supaya orang kenal saya dengan gaya itu atau ini,” katanya.
Khaidhirah yang juga anak kepada bekas Ketua Menteri Melaka kelapan, Allahyarham Datuk Seri Abu Zahar Ithnin itu menjadi selebriti pertama bergelar wakil rakyat selepas memenangi kerusi DUN Rim pada PRN Melaka 2021.
Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Sarjana Dasar Awam dari Universiti Malaya (UM) yang diselesaikan pada 2024.
PRN lalu menyaksikan Khaidhirah menang majoriti dengan majoriti 1,327 menewaskan dua lagi calon selepas memperoleh undian sebanyak 4,037 undi.
Dua lagi calon iaitu Azalina Abdul Rahman (PN) meraih sebanyak 2,710 undi manakala Prasanth Kumar (PH) dengan 2,163 undian.



