asyikin.mat@hmetro.com.m
TONG sampah dianggap objek kurang menarik namun boleh diubah menjadi elemen hiasan jika diberikan sentuhan kreatif.
Contoh, tambah cat berwarna ceria, corak geometri atau aksesori kecil seperti tali, manik atau pelekat hiasan untuk menghidupkan rupa bentuk.
Lima idea kreatif untuk mencantikkan tong sampah di rumah.
1. Guna tong sampah rotan
Penggunaan bakul anyaman rotan dan kayu boleh menaikkan seri rumah.
Tekstur semula jadi rotan memberikan kesan menarik dan elegan pada ruang.
Letak kain pengalas dalam bakul supaya mudah dibersihkan tanpa merosakkan anyaman.
2. Tong sampah warna ceria
Cat tong sampah dengan warna terang atau pastel seperti kuning mustard, hijau cair atau biru laut untuk mencetuskan suasana lebih ceria.
Untuk gaya lebih moden, boleh menambah corak geometri bagi menonjolkan karektor unik.
Tukar warna atau corak mengikut cita rasa baharu untuk menjadikan tong sampah lebih menarik.
3. Tong sampah gaya industri
Penggunaan tong sampah logam dengan penutup kayu atau kulit memberikan sentuhan urban yang bergaya.
Menambah aksesori pelekat hiasan bukan sahaja dapat membezakan fungsi tong sampah, tetapi juga menjadikannya lebih menarik secara visual.
Kombinasi material keras (metal) dan lembut (kayu) pada tong sampah memberi keseimbangan estetik yang elegan di rumah.
4. Tong sampah dalam kabinet
Sembunyikan tong sampah dalam kabinet dapur untuk menjadikan ruang lebih kemas dan minimalis.
Kabinet jenis laci tarik atau penutup automatik memudahkan penggunaan sambil mengekalkan penampilan ruang yang teratur.
Selain itu, ia membantu mengawal bau dan menjadikan tong sampah sebahagian elemen dekorasi.
5. Tong sampah dengan tanaman mini
Menempatkan tong sampah dalam bakul cantik bersama hiasan landskap mini yang dilengkapi tumbuhan seperti kaktus.
Hasilnya, tong sampah bukan sekadar tempat sampah tetapi juga aksesori rumah yang segar dan menarik.
Idea ini memberi ilusi hijau semula jadi dan menambahkan keceriaan pada ruang rumah.
© New Straits Times Press (M) Bhd



