mahani@bh.com.my
Kuala Lumpur: Sebanyak 3,161 kes tuberkulosis (Tibi) direkodkan di seluruh negara sehingga Minggu Epidemiologi ke-6 (ME-6/2026) dengan 596 jangkitan baharu dilaporkan dalam tempoh terbaharu pemantauan.
Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan Sabah mencatatkan jumlah tertinggi dengan 755 kes atau 23.88 peratus daripada keseluruhan kes, diikuti Selangor sebanyak 596 kes (18.85 peratus) dan Sarawak 332 kes (10.50 peratus).
“Johor merekodkan 280 kes, manakala Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya mencatatkan 244 kes.
“Sebanyak 181 kes baharu di Kedah diikuti Pulau Pinang (172), Perak (154), Kelantan (121), Pahang (103), Terengganu (74), Negeri Sembilan (62), Melaka (48), Perlis (21) serta Wilayah Persekutuan Labuan (18),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Justeru KKm menyarankan orang ramai yang berkunjung ke bazar Ramadan serta majlis berbuka puasa bersama keluarga dan kenalan terus mengamalkan langkah kesihatan kendiri secara konsisten, termasuk dari segi kesihatan pernafasan.
“Tibi ialah penyakit berjangkit bawaan udara yang boleh merebak apabila seseorang yang menghidap TB paru-paru aktif batuk, bercakap atau bersin.
“Bagaimanapun, Tibi lazimnya tidak merebak dengan cepat seperti influenza atau COVID-19 dan biasanya memerlukan pendedahan yang lebih lama serta berulang,” katanya.
Katanya, risiko penularan boleh meningkat sekiranya seseorang terdedah dalam tempoh yang panjang di ruang tertutup, sesak dan kurang pengudaraan khususnya jika terdapat individu dengan Tibi aktif yang belum menjalani rawatan.
“Namun, risiko sebenar bergantung kepada beberapa faktor termasuk tempoh pendedahan, keadaan pengudaraan dan tahap kesihatan individu terbabit.
“Bagaimanapun ditegaskan, Ramadan bukanlah punca kepada penularan Tibi.
“Peningkatan aktiviti sosial dan perhimpunan sepanjang bulan ini secara umumnya meningkatkan interaksi dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai digalakkan mengamalkan etika batuk dan bersin yang betul, memastikan pengudaraan yang baik di ruang tertutup, memakai pelitup muka sekiranya bergejala atau berada di tempat sesak.
“Selain itu, individu yang mengalami batuk berpanjangan melebihi dua minggu atau gejala lain berkaitan, dinasihatkan mendapatkan pemeriksaan kesihatan.
“Pendekatan berasaskan kesedaran komuniti ini amat penting bagi memastikan pengesanan awal, rawatan yang berkesan serta pencegahan penularan dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
“Melalui kesedaran dan tindakan bersama, Ramadan dapat disambut dalam keadaan selamat, sihat dan sejahtera,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




