Mula berlakon seawal usia sembilan tahun, pelakon Liyana Jasmay berkata perjalanan sebagai pelakon cilik bukan sekadar cerita glamor semata-mata.
Memetik HibGlam, Liyana berkata kawalan keluarga, disiplin serta kekuatan dalaman menjadi penyebab untuk terus bertahan dalam industri yang disifatkan kejam.
BACA: “Dah Tua, Tak Sesuai” – Netizen Tegur Liyana Jasmay Pakai Skirt Pendek
“Saya boleh bekerja dalam persekitaran yang dikelilingi orang dewasa. Semasa saya mula berlakon, hati saya memang jujur dan memang sukakan industri seni.
“Jurang usia memang ketara, saya baru sembilan tahun tetapi kru dan pelakon lain semuanya dewasa. Hari-hari saya lihat, dengar dan pandang apa yang berlaku di set, tetapi saya seronok sangat dapat duduk dengan orang industri,” katanya.
Menurutnya lagi, dia juga tidak pernah terlepas daripada melakukan kesilapan ketika remaja namun setiap kali tersasar keluarga akan pimpin kembali dan arwah ibunya sentiasa ada bersamanya.
“Semua orang pernah muda dan pernah buat silap. Saya juga tidak terkecuali, ada saja kesilapan yang saya lakukan semasa membesar seperti buat perkara bukan-bukan atau berkenalan dengan orang yang salah.
“Jika saya buat salah, orang pertama yang akan ‘tampar’ atau beri nasihat adalah keluarga. Betapa besar dan buruk kesilapan yang saya lakukan ibu bapa tetap maafkan. Apa sahaja masalah, jangan tipu dan kita perlu hadap sebagai satu ‘team’,” katanya.
Dalam pada itu, Liyana berkata di usia remaja dia tidak menikmati kebebasan seperti rakan sebaya lain serta mengaku pernah memberontak kerana dikawal ketat namun perspektifnya berubah selepas dewasa dan berkeluarga.
“Dahulu saya selalu memberontak dan marah kenapa saya tidak boleh buat perkara yang remaja seusia boleh lakukan. Sebab arwah ibu selalu ikut ke mana sahaja saya pergi.
“Tetapi selepas saya dewasa dan berkahwin, saya rasa bersyukur sangat, arwah ibu kawal saya bersebab kerana waktu itu banyak sangat perkara negatif yang boleh mempengaruhi. Jika tidak ada orang kawal saya akan terpesong,” katanya.
Sumber: HibGlam




