norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Lima tahun sudah berlalu, namun perasaan rindu mendalam Uwais Alqarni, 15, terhadap ibunya, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin, 42, tidak mampu dibendung.
Menerusi hantaran video dimuat naik bapanya yang juga pelawak dan usahawan, Shuib, 42, di Instagram (IG) memaparkan remaja itu menundukkan wajah dan menangis di pusara ibu tersayang.
Terdahulu, Shuib dilihat bersama dua anak lelakinya Uwais dan Ariq Matin menziarah pusara Allahyarham Siti Sarah pada Ramadan ini.
Melihat keadaan Uwais yang menangis, Shuib memeluk anak sulungnya untuk menenangkan kesedihan dirasai daripada perasaan rindu mereka yang tidak berpenghujung.
“5 tahun,” tulis Shuib ringkas pada hantaran video dimuat naik itu berserta emoji hati berwarna merah yang terbelah dua.
Meninjau di ruangan komen, rata-rata netizen juga sebak melihat keadaan Uwais yang menangis serta mendoakan agar dia kuat dan sabar menangani rasa rindu yang sarat itu.
“Dia anak sulung, banyak lagi kenangan dia ingat semua,” kata seorang warganet.
“Hadiah terindah dan terhebat buat arwah ialah miliki anak soleh yang sentiasa mendoakannya,” komen netizen.
“Uwais sayang, banyak beban rindu tu..sabar ya sayang..membesar jadi anak yang hebat..doakan ibu Uwais,” ujar pengguna media sosial.
“Ya Allah sayu tengok..Uwais rindu sangat..rindu yang tiada penghujung,” tulis seorang wargamaya.
Shuib atau nama sebenar Shahmira Muhammad sebelum ini bernikah dengan Allahyarham Siti Sarah pada 26 Februari 2011, namun arwah meninggal dunia akibat komplikasi jangkitan Covid-19 pada 9 Ogos 2021.
Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 15, Dzakira Talita Zahra, 13, Ariq Matin, 11 dan Ayash Affan, 4.
Shuib kemudiannya melangsungkan perkahwinan kali kedua dengan pasangannya, Watie Hanifiah, pada 23 Jun 2023. Majlis akad nikah berlangsung di Putra Glass House, Putra Heights.
© New Straits Times Press (M) Bhd




