Gempa bumi di perairan Kota Kinabalu: ' Gegaran terasa dalam 10 saat'

Gempa bumi di perairan Kota Kinabalu: ' Gegaran terasa dalam 10 saat'

am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Penduduk di sekitar Pantai Barat Sabah dikejutkan dengan gegaran kuat selama kira-kira 10 saat susulan gempa bumi bermagnitud 6.8 yang berlaku di perairan Kota Kinabalu, awal pagi tadi.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan gempa berkenaan berlaku pada jam 12.57 pagi dengan koordinat 7.0 darjah Utara dan 116.4 darjah Timur, kira-kira 49 kilometer (km) barat dari Kudat pada kedalaman 678 kilometer (km).

Gegaran dilaporkan dirasai di sekitar Kota Kinabalu, Penampang dan beberapa daerah lain di Pantai Barat, selain turut dirasai di beberapa kawasan di Sarawak.

Di Kepayan dekat sini, seorang penduduk Petrus Bius berkata, ketika kejadian dia sedang berehat sebelum tiba-tiba terasa rumahnya bergegar.

“Saya masa itu sedang berehat, tiba-tiba rasa gegaran dalam 10 saat macam itu. Memang jelas terasa.

“Anak saya pula sedang belajar dan terus beritahu jendela biliknya bergegar, manakala medal-medal yang digantung turut berhayun dan berbunyi,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu di Sandakan, Azlan Adlan berkata, dia menyedari kejadian berkenaan ketika sedang baring di sofa.

“Sekali rasa macam kena ayun, medal-medal pun berbunyi. Saya terus bangun dan tengok, memang ada gegaran,” katanya.

Dalam pada itu, di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Sri Serigai, Putatan, kebanyakan penghuni yang merasai gegaran bertindak keluar dari kediaman masing-masing dan berkumpul di dewan sebagai langkah berjaga-jaga.

Malah, terdapat juga beberapa penghuni yang mengambil keputusan meninggalkan kawasan berkenaan dengan menaiki kenderaan bersama ahli keluarga bagi memastikan keselamatan.

Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah memaklumkan setakat ini pihaknya belum menerima sebarang laporan kecemasan berkaitan kejadian gempa berkenaan.

Bagaimanapun, pemantauan sedang dijalankan oleh pasukan bomba di sekitar perairan Kota Kinabalu bagi memastikan keadaan kekal selamat dan terkawal.

“Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu turut membuat rondaan di kawasan tepi laut berhampiran Sabah International Convention Centre (SICC) susulan kejadian gempa bumi yang berlaku awal pagi ini,” katanya.

MetMalaysia memaklumkan tiada ancaman tsunami dikeluarkan dan pihaknya akan terus memantau keadaan semasa serta menasihatkan orang ramai mendapatkan maklumat sahih melalui saluran rasmi termasuk laman web mygempa.met.gov.my.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top