London: Pemain tengah Arsenal, Eberechi Eze sekali lagi menjadi mimpi ngeri Tottenham apabila dua jaringannya menghidupkan semula pemburuan gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) buat pendahulu liga itu menerusi kemenangan besar 4-1 ke atas seteru setempat, awal pagi tadi.
Skuad kendalian Mikel Arteta menamatkan kemarau dua perlawanan tanpa kemenangan dan kini mendahului lima mata di depan pencabar terdekat, Manchester City hasil aksi cemerlang Eze serta dua gol daripada Viktor Gyokeres.
Selepas menolak peluang menyertai Tottenham pada jendela perpindahan lalu, Eze menampilkan aksi terbaiknya bersama Arsenal setiap kali bertemu bekas peminatnya itu.
Pemain berusia 27 tahun itu meledak hatrik ketika Arsenal membelasah Tottenham 4-1 pada November lalu dan Arteta terus menurunkan tonggak England itu dalam kesebelasan utama bagi aksi timbal balik walaupun prestasinya kurang meyakinkan kebelakangan ini.
Kepercayaan Arteta dibalas dengan dua gol pertamanya sejak hatrik ke atas Tottenham, sekali gus menamatkan kemarau jaringan yang berlarutan selama 18 perlawanan.
Eze meletakkan Arsenal di depan pada babak pertama di Stadium Tottenham Hotspur sebelum Randal Kolo Muani menyamakan kedudukan tidak lama kemudian.
Gyokeres meredakan tekanan sejurus babak kedua bersambung, Eze menambah gol ketiga dan Gyokeres melengkapkan kemenangan penting buat The Gunners.
Selepas musim pertama yang sukar susulan perpindahan dari Sporting Lisbon, jaringan Gyokeres menjadi detik kelegaan buat penyerang Sweden itu, sama seperti Eze yang kembali menemui sentuhan berbisa.
Kebangkitan Eze dan Gyokeres hadir tepat pada waktunya ketika misi memburu gelaran Arsenal hampir tersasar.
The Gunners sebelum ini berada dalam kedudukan selesa untuk menjulang kejuaraan liga England pertama sejak 2004, namun kelebihan yang dilepaskan ketika seri menentang Brentford dan Wolves dalam dua aksi terdahulu kembali membuka saingan.
Kemenangan 2-1 Manchester City ke atas Newcastle, malam tadi, merapatkan jurang kepada hanya dua mata.
Menyedari tekanan yang semakin memuncak, Arteta memberi amaran kepada anak buahnya supaya menyertai kelab lain jika tidak mampu menahan “kebisingan dan peluru” dalam perjuangan memburu gelaran, sambil menggesa mereka mencorak takdir sendiri.
© New Straits Times Press (M) Bhd




