El Nino: Risiko tambahan krisis tenaga

El Nino: Risiko tambahan krisis tenaga
El Nino: Risiko tambahan krisis tenaga

Akmal Nasrullah

PUTRAJAYA – Kerajaan memberi perhatian serius kepada risiko cuaca ekstrem, termasuk fenomena El Nino yang dijangka bermula pada Jun dan berterusan sekurang-kurangnya sehingga pertengahan tahun 2027 yang akan memberi kesan tambahan kepada krisis tenaga.

Menteri ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, El Nino berpotensi membawa cuaca lebih panas serta pengurangan taburan hujan yang ketara, termasuk sehingga 40 hingga 60 peratus di beberapa negeri.

“Risiko ini bukan kecil, ia boleh menjejaskan bekalan air, meningkatkan risiko jerebu, memberi tekanan kepada kesihatan awam, menjejaskan tanaman makanan dan komoditi, meningkatkan permintaan tenaga seterusnya boleh memberi kesan kepada ekonomi makro secara keseluruhan.

“Sektor komoditi utama akan menerima impak yang ketara apabila El Nino berlaku antaranya boleh mengurangkan hasil produk tanaman secara purata antara 8 hingga 10 peratus secara keseluruhan,” katanya pada taklimat Krisis Bekalan Global Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) pada Khamis.

Menurut beliau, keutamaan rakyat dalam memastikan bekalan utama rakyat, MTEN akan terus memantau perkembangan semasa dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengaktifkan langkah kesiapsiagaan awal.

“Langkah tersebut termasuk pemantauan cuaca 24 jam, hebahan amaran cuaca, penyediaan sistem penarafan bahaya kebakaran serta kesiapsiagaan untuk melaksanakan Operasi Pembenihan Awan sekiranya keadaan mendesak.

“Selain itu, MTEN telah membuat keputusan supaya Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam menyelaras libat urus untuk memberikan taklimat berkaitan risiko el-nino kepada semua kerajaan negeri supaya persediaan awal diambil,” ujarnya lagi.

Scroll to Top