Lebih 4,000 mangsa banjir di Sabah berlindung di 32 PPS setakat pagi ini

Lebih 4,000 mangsa banjir di Sabah berlindung di 32 PPS setakat pagi ini

Kota Kinabalu: Sabah menyaksikan peningkatan ketara jumlah mangsa banjir apabila sebanyak 4,348 orang daripada 1,774 keluarga berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) pagi hari ini berbanding 3,427 orang daripada 1,449 keluarga malam tadi.

Menurut kenyataan Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Sabah, kesemua mangsa ialah penduduk dari 70 kampung di tiga daerah yang terjejas akibat banjir, iaitu Pitas, Paitan dan Tawau.

“Mereka ditempatkan di 32 PPS yang dibuka di ketiga-tiga daerah berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Pitas masih merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 2,618 orang daripada 1,276 keluarga berbanding 2,171 orang daripada 1,078 keluarga setakat semalam.

Paitan turut menyaksikan pertambahan dalam jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di PPS iaitu 1,485 orang daripada 443 keluarga manakala Tawau kekal dengan 245 orang daripada 55 keluarga.

Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan beberapa kawasan di pedalaman Sabah mengalami ribut petir pada sebelah pagi, petang dan malam ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top