Kuala Lumpur: Ahli perniagaan yang juga bekas Pengarah Urusan Syarikat V Telecoms Berhad Datuk Ranjeet Singh Sidhu hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan memberi suapan RM8 juta kepada bekas presiden sebuah bank, 14 tahun lalu.
Ranjeet, 56, didakwa memberi suapan itu kepada bekas presiden dan pengarah urusan bank berkenaan melalui seorang individu sebagai upah untuk membantu meluluskan permohonan pinjaman RM400 juta oleh Syarikat V Telecoms Berhad.
Pinjaman itu bagi membiayai projek pembangunan rangkaian gentian optik pesisir pantai yang merangkumi keseluruhan Semenanjung Malaysia.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Sultan Ismail dekat sini pada 29 Jun 2012 mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman maksimum penjara 20 tahun serta denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.
Ranjeet turut berdepan pertuduhan mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu melibatkan Joint Completion Guarantee sebagai memenuhi syarat kelulusan permohonan pinjaman berjumlah RM400 juta untuk membiayai projek sama, pada masa dan di tempat serupa.
Bagi pertuduhan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Farah Ezlin Yusop Khan menawarkan jaminan RM150,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh perlu melaporkan diri sebulan sekali di ibu pejabat SPRM sehingga kes selesai.
Peguam Datuk Gobinath Mohanna, yang mewakili tertuduh, bagaimanapun memohon jumlah jaminan rendah dan memaklumkan pasport anak guamnya kini dalam simpanan SPRM.
Hakim Rosli Ahmad membenarkan Ranjeet diikat jamin RM150,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti dimohon pendakwaan dan menetapkan 30 Mac ini untuk sebutan semula kes.
© New Straits Times Press (M) Bhd




