zahrin@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Sime Darby Motors melalui anak syarikat milik penuhnya, Sime Darby Rent A Car Sdn Bhd (SDRAC) menyerahkan kenderaan berkemampuan telematik pertama bagi memberi sokongan pengangkutan di Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) PETRONAS di Johor.
Integrasi sistem pemprosesan telekomunikasi dan maklumat dalam kenderaan itu adalah pencapaian baharu kepada SDRAC dan sebahagian daripada usahanya untuk meningkatkan segmen perniagaan penyewaannya sekali gus beralih kepada penyedia pengurusan penyelesaian kenderaan.
Pengarah Urusan SDRAC, Harun Mohd Joned, berkata telematik, yang diiktiraf kerana peranannya dalam industri logistik, akan digunakan untuk kali pertama dalam industri penyewaan kereta oleh SDRAC bagi meningkatkan prestasi armadanya.
Beliau berkata, dengan kawalan berpusat, pelanggan SDRAC akan diberikan masa nyata untuk mengesan penggunaan kenderaan dan prestasi pemandu.
Ia juga, katanya, mempunyai kemampuan untuk mengoptimumkan laluan sekali gus mengurangkan pembaziran bahan bakar dan penyelenggaraan kenderaan serta mendapatkan maklumat kenderaan.
Jelasnya, engan pemasangan telematik kenderaan, pelanggan SDRAC dapat menerima prestasi dan keselamatan melalui sistem amaran yang terperinci dan pemerhatian tingkah laku pemanduan.
“Pandemik COVID-19 turut menjejaskan perniagaan SDRAC. Namun pengalaman selama 39 tahun dalam industri memberikan SDRAC memahami keperluan inovasi dan mencipta semula operasi secara konsisten.
“Langkah pendigitalan ini membolehkan kami terus mengembangkan perniagaan dengan melaksanakan penyelesaian telematik bagi armada pelanggan dan membantu mereka meningkatkan kecekapan serta produktiviti,” katanya dalam satu kenyataan.
Harun berkata, SDRAC menyelesaikan kenderaan berkemampuan telematik pada Disember 2020 dengan pusat panggilan ditubuhkan di Pengerang untuk menguruskan papan pemuka armada.
Beliau berkata, SDRAC menguruskan hampir 3,000 kenderaan, antara armada terbesar di Asia Tenggara untuk jenama Hertz dan Thrifty dengan tenaga kerja berkemahiran tinggi seramai 276 orang.
Katanya, menggunakan teknologi dan pendigitalan, pihaknya mampu meningkatkan operasi untuk menguruskan saiz kenderaan lebih daripada 35,000 unit.
© New Straits Times Press (M) Bhd




