Kuala Lumpur : Jika disingkap kembali bukan mudah perjalanan hidup usahawan dan pempengaruh terkenal, Aleeya Zailan.
Aleeya juga ibu kepada tiga anak menganggap semua itu termasuk kisah silam hidup susah dan lahir dalam keluarga bercerai berai sebagai pelajaran serta pengalaman berharga.
Enggan menoleh ke belakang lagi, dia yang sudah berjinak-jinak dengan cabang perniagaan baharu sebagai sebagai tauke barang kemas di bawah nama Avenys & Co.
Dia sebelum ini meneroka dan mencipta nama dalam perniagaan jual sambal, penjagaan kulit dan suplemen.
“Semuanya berlaku tanpa dirancang. Tapi berlian dan permata umpama teman akrab golongan wanita. Macam lagu mendiang Marilyn Monroe berjudul ‘Diamonds Are a Girl’s Best Friend’.
“Dalam erti kata lain, saya sudah mula ‘tersuka’ dan ‘terjatuh hati’ dengan barang kemas terutama berlian. Dari membeli dan mencari berlian terbaik untuk diri sendiri, akhirnya jadi geram sampai terbeli dalam kuantiti banyak.
“Kemudian suka pula batu permata. Lama-kelamaan, asyik fikir dan menikmati keindahan barang kemas, tercetus rasa serta keputusan untuk menceburi perniagaan ini. Lebih istimewa saya reka sendiri barang kemas yang diingini,” kata Aleeya yang dikenali dengan gelaran Big Boss.
Tambah isteri kepada Azri Aziz itu lagi, fokus dan tumpuannya terhadap perniagaan barang kemas juga lebih banyak sekitar 80 peratus.
“Selebihnya (20 peratus) perhatian itu tetap diberikan untuk perniagaan penjagaan kulit (jenama Avenys) yang dibangunkan sejak beberapa tahun lalu.
“Tambahan lagi, perniagaan penjagaan kulit itu sudah ibarat boleh lepas tangan kerana sudah boleh dibeli di banyak premis perniagaan termasuk Guardian dan Aeon Wellness.
“Saya pun ada hos siaran langsung di TikTok yang aktif menjual. Syukur juga jenama kebanggaan saya ini sudah dikenali, dipercayai dan mempunyai kelompok pelanggan serta peminat tegar,” katanya.
Tegasnya lagi, semangatnya meluaskan cabang empayar perniagaan berlian dan batu permata didorong keinginan untuk mendidik orang untuk lebih bijak membeli.
“Memang kita selalu dengar ramai yang kena tipu sebab tak tahu selok belok barang kemas. Ada yang beriya-iya nak beli berlian dan permata tapi hujung-hujung batu dicari tak berkilau selain palsu.
“Jadi untuk permulaan barang kemas saya ini dibuat secara konsep ‘made to order’ dan boleh ditempah menerusi laman sesawang www.avenys.com,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



