Pernah ‘hilang’ anak akibat kanser, Linda Rafar tak boleh tidur fikir cara bantu Amyza Adnan

Pernah ‘hilang’ anak akibat kanser, Linda Rafar tak boleh tidur fikir cara bantu Amyza Adnan

Pelakon dan penyanyi, Linda Rafar mengakui hatinya tersentuh dan tidak dapat melelapkan mata memikirkan ujian berat yang dilalui sahabatnya, Amyza Aznan apabila kedua-dua puteranya disahkan menghidap kanser.

Linda Rafar faham apa dirasai Amyza

Memetik laporan daripada Berita Harian, Linda, 47, sebelum ini kehilangan anak tersayang, Rezaimen Keiflin, 11, akibat kanser perut atau Burkitt Lymphoma pada 5 Julai 2014. Pengalaman perit itu membuatkan beliau amat memahami perasaan seorang ibu yang diuji dengan berita kesihatan anak.

“Saya terasa sangat apa yang Amyza alami. Saya tidak boleh tidur, berfikir bagaimana hendak tolong Amyza… Bantu dapatkan rawatan alternatif dan sebagainya. Itulah yang saya sedang lakukan dalam masa terdekat. Apa-apa yang saya boleh bantu dan sokong, saya cuba.
“Anak saya dahulu pun, sama macam anak Amyza, sihat walafiat dan tidak pernah sakit serta tiada isu genetik. Tiba-tiba doktor diagnos anak saya (Rezaimen) hidap kanser tahap empat.
“Jadi, sebagai ibu yang pernah hilang anak, apabila diingat semula apa yang doktor beritahu di mana mungkin beberapa peratus sahaja anak boleh diselamatkan, ia memberi impak yang sangat kuat,” katanya.

linda rafar

Linda Rafar pernah hadapi kehilangan

Baru-baru ini, Amyza berkongsi berita bahawa anak keduanya, Adrian Adam, 18, disahkan menghidap kanser tulang.

Tahun lalu, anak sulungnya, Andre Mikhail pula disahkan menghidap kanser paru-paru pada waktu hampir sama, menjadikan Ramadan kali ini penuh ujian buat keluarga berkenaan.

Menurut Linda atau nama penuhnya Azlinda Abdul Rafar, dalam situasi seperti itu, seorang ibu tidak memerlukan nasihat berlebihan, sebaliknya sokongan dan doa berterusan.

“Orang yang belum kena (anak diuji sakit), mereka boleh cakap, sabar ini dugaan, banyakkan berzikir, solat, bersedekah dan cuba buat yang terbaik. Orang boleh bercakap, tetapi, orang tidak boleh merasai sedikit pun apa yang kita rasa.
“Sebenarnya, apa yang kita boleh buat sekarang, doakan. Kita sama-sama mendoakan Amyza untuk kuat. Doakan anaknya mendapat kesembuhan dan ada keajaiban. Bagi saya, semua keajaiban dari Allah. Dia yang memberi sesuatu penyakit itu dan Allah jugalah yang menyembuhkannya,” katanya.

Linda Rafar turut berharap orang ramai yang berkemampuan dapat menghulurkan bantuan kewangan memandangkan kos rawatan termasuk alternatif memerlukan perbelanjaan tinggi.

“Berapa sahaja yang anda boleh derma, dermalah. Tidak kira RM5 atau RM10, tetap berharga,” katanya.

Artikel lain: Doktor minta bersedia, Amyza Aznan bawa anak sulung balik rumah – “Hanya mengharap keajaiban”

Dalam masa sama, beliau kini sedang berusaha mendapatkan maklumat rawatan alternatif yang sesuai untuk membantu anak Amyza, namun memilih untuk tidak tergesa-gesa bagi mengelakkan sebarang kesilapan.

Scroll to Top