sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Beregu lelaki negara harus memanfaatkan Terbuka Jerman bermula esok sebagai pentas untuk membina mometum sebelum mengharungi kejohanan Seluruh England, minggu depan.
Legenda badminton negara, Datuk Razif Sidek berpendapat pemain negara tidak boleh mengambil sikap sambil lewa terhadap pertandingan ini, sebaliknya ia masa terbaik untuk menyesuaikan diri dengan keadaan di Eropah.
Katanya, sekiranya mereka mendapat rentak permainan lebih awal, ia akan membantu pasangan negara membina keyakinan diri, sekali gus tampil dengan lebih garang di Seluruh England.
“Ia strategi biasa untuk beraksi dalam satu atau dua kejohanan sebelum Seluruh England bagi memanaskan badan, menyesuaikan diri dengan keadaan serta membina keyakinan dari segi permainan dan persiapan mental.
“Sesetengah pemain boleh menyesuaikan diri serta-merta jika terus ke Seluruh England, tetapi ada yang tidak, jadi pendekatan ini membantu mereka lebih cepat serasi,” katanya.
Selain itu, beliau berharap setiap pemain dapat fokus dan mengekalkan prestasi dari satu kejohanan ke satu kejohanan kerana persaingan beregu lelaki begitu sengit dan sedikit kesilapan akan membuatkan mereka tersingkir.
“Standard semua pemain kini hampir sama, jadi ia bergantung kepada prestasi semasa, persiapan dan undian,” katanya.
Di Terbuka Jerman, Malaysia mempunyai lima wakil beregu lelaki diketuai Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang kini berada di ranking kedua dunia.
Selain itu, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani (8), Arif Junaidi-Yap Roy King (18), Muhammad Haikal Nazri-Chong Hon Jian (31) dan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi (33).
Kali terakhir wakil Malaysia muncul juara di Terbuka Jerman adalah menerusi Sze Fei-Izzuddin selepas menewaskan pasangan China, Liu Yuchen-Ou Xuanyi 23-21, 16-21, 21-14 pada 2022.
© New Straits Times Press (M) Bhd



