Bangkit selepas kehilangan ibu

Bangkit selepas kehilangan ibu

lokman@hmetro.com.my

Bagan Serai: Lahir daripada keluarga sederhana bukan penghalang buat pemuda ini cemerlang dalam pelajaran dan memasang impian tinggi mahu bergelar pegawai tadbir agama.

Muhammad Danish Iman Muhammad Zainal Abidin, 20, dari Alor Pongsu, di sini, adalah pelajar cemerlang yang memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.83 dalam keputusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang diumumkan, baru-baru ini.

Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, ibunya, Allahyarham Nur Mahani Mahyuddin meninggal dunia akibat kanser payudara pada 2021 ketika berusia 46 tahun.

“Ketika ibu meninggal dunia, saya baru berusia 14 tahun.

“Bapa saya, Muhammad Zainal Abidin Ahmad, 53, berulang-alik menaiki motosikal dari Alor Pongsu bekerja di sebuah kilang di Batu Kawan, Pulau Pinang.

“Abang sulung saya turut mengorbankan hasrat menyambung pengajian di peringkat ijazah dalam bidang agroteknologi selepas pemergian ibu bagi membantu meringankan beban keluarga,” katanya.

Kesulitan keluarga Danish mendapat perhatian Kerajaan Negeri Perak yang menawarkan dia menyertai Program Anak Angkat Cikgu Saarani (AACS) kendalian Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR).

Katanya, dia terpilih menyertai program berkenaan ketika di tingkatan lima di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abu Bakar Al-Baqir, Sungai Gedong.

“Menerusi program itu, saya menerima elaun RM100 setiap bulan sehingga sekarang.

“Alhamdulillah, berkat usaha dan bantuan kerajaan negeri, saya berjaya memperoleh keputusan 6A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) aliran Sains Tulen dan Arab.

“Selepas itu, saya menyambung pengajian STPM di SMK Alang Iskandar dalam jurusan agama yang merangkumi Bahasa Arab, Pengajian Am, Usuluddin dan Syariah sebelum memperoleh PNGK 3.83,” katanya.

Selain elaun bulanan, Danish berkata, dia turut menerima bantuan komputer riba selepas memperoleh keputusan 6A dalam SPM.

“Sewaktu di tingkatan enam pula saya menerima bantuan sekali bayar RM1,500 yang digunakan untuk membeli keperluan persekolahan termasuk pakaian dan selebihnya dijadikan wang perbelanjaan ke sekolah.

“Bantuan itu banyak meringankan beban keluarga dan membantu saya lebih fokus dalam pelajaran,” katanya.

Katanya, bantuan itu membuktikan komitmen YBUDR dalam meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi rakyat serta kebajikan sosial selari pelan Perak Sejahtera 2030 cetusan idea Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Kini, Danish bekerja di kedai perkakas kediaman di Alor Pongsu sementara menunggu kemasukan ke universiti.

Katanya, dia sudah mengemukakan permohonan ke Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bagi mengikuti pengajian dalam bidang Al-Quran dan Sunnah.

“Saya bercita-cita menjadi pegawai tadbir agama kerana mahu mendalami lagi peranan bidang itu, khususnya dalam urusan berkaitan agama dan dakwah,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top