Pelbagai aplikasi baharu tingkatkan permintaan lebar jalur

Pelbagai aplikasi baharu tingkatkan permintaan lebar jalur

amir_hamid@mediaprima.com.my

Permintaan tinggi dan pelbagai bagi perkhidmatan multimedia dan komunikasi seperti audio serta video definisi tinggi (HD) yang dibawa saiz fail sangat besar memerlukan talian penghantaran berkelajuan tinggi.

Bagaimanapun, Profesor di Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Elektronik dan Sistem, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Ir Dr Mohd Syuhaimi Ab Rahman berkata, permintaan untuk lebar jalur yang besar ini tidak mampu dipenuhi oleh seni bina capaian rangkaian tradisional seperti kabel telefon gandingan terpintal dan kabel sepaksi rangkaian ‘Community Antenna Television’ (CATV).

Kata beliau, sebarang penghantaran data yang kadarnya melebihi 1 Gigahertz (GHz) memerlukan gandingan cahaya dan gentian optik yang masing-masing berperanan sebagai pembawa data medium komunikasi.

“Malaysia tidak terkecuali dalam memenuhi trend semasa dan juga permintaan pengguna. Justeru, kerajaan melancarkan Inisiatif Jalur Lebar Nasional (NBI) pada 2010.

“Inisiatif Strategi Bagi Pengimplementasian Jalur Lebar Nasional ini didokong oleh kerajaan menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Beberapa inisiatif projek juga dilancarkan di bawah NBI bagi mencapai matlamat ini iaitu Projek Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB) dan Projek Jalur Lebar Untuk Orang Awam (BBGP),” katanya. Menurut beliau, hasilnya, kini rakyat Malaysia dapat melayari Internet dari rumah dengan kapasiti yang besar bermula 30 Megahertz (MHz) sehingga 800MHz.

Menurut beliau, Rangkaian Pasif Optik (PON) juga diperkenalkan sebagai suatu pendekatan yang mudah, murah dan boleh dipercayai untuk menyediakan akses dengan jumlah pengguna yang semakin meningkat.

Beliau yang memiliki kepakaran dalam Sistem Komunikasi Optik itu berkata, PON terdiri daripada beberapa unit, antaranya Optik Unit Rangkaian (ONU) yang digunakan untuk menyediakan akses rangkaian untuk beberapa pengguna.

“Setiap ONU akan menghantar data yang sudah dikumpul daripada pengguna mengikut jadual ditetapkan oleh peranti dipanggil sebagai Terminal Talian Optik (OLT).

“Pada permulaannya, lebar jalur yang dilanggan oleh rakyat Malaysia bermula daripada 30 Megabit sesaat (Mbps) hingga 100Mbps.

“Bagaimanapun, lebar jalur yang lebih besar kini dapat disediakan kepada pelanggan pada kadar yuran yang lebih tinggi iaitu 800Mbps,” katanya.

Mohd Syuhaimi berkata, pelebaran lebar jalur yang besar ini adalah hasil pengembangan lebar jalur sistem rangkaian yang bermula daripada 1.25GHz dan mungkin akan dinaikkan kepada 2.5GHz pada masa hadapan.

Dalam penyelidikan pula, kata beliau, rangkaian teknologi gentian ke rumah (FTTH) dengan 10GHz berjaya dibangun untuk dilaksanakan.

“Tidak mustahil, pada masa hadapan, kadar penghantaran data mencapai sehingga 40GHz bagi membolehkan lebih ramai pengguna memanfaatkan pelbagai aplikasi serentak dengan kemajuan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT).

“Kemajuan ICT dan peningkatan taraf hidup membolehkan pelbagai aplikasi baru dibangunkan bagi memanfaatkan kehidupan kita.

“Antaranya teleperubatan dan telekesihatan, penstriman video berkualiti tinggi, realiti maya (VR) dan realiti terimbuh (AR), kecerdasan buatan dan banyak lagi.

“Lebar jalur yang besar memberikan manfaat kepada manusia melalui penerokaan aplikasi baru, khususnya dalam dunia digital,” katanya.

Beliau berkata, dalam dunia tanpa sempadan ini, keberkesanan penyampaian dan pertukaran maklumat adalah satu daripada aspek penting yang perlu diberi perhatian oleh penyedia perkhidmatan.

Menurutnya, antara kaedah yang berkesan mutakhir ini ialah dengan menggunakan teknologi gentian FTTH yang berupaya untuk membawa perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi kepada pengguna.

“Namun, untuk memastikan perkhidmatan yang bebas gangguan, faktor keboleharapan rangkaian menjadi keutamaan dalam perancangan oleh penyedia perkhidmatan.

“Kerosakan dalam rangkaian, seperti kabel yang terputus boleh menyebabkan terputusnya perkhidmatan kepada pelanggan serta meningkatkan kos operasi di samping meningkatkan risiko bahaya kepada pengguna apabila sinaran ini terdedah kepada mereka.

“Arkitektur Fiber to the Home-Passive Optical Network (FTTH-PON) mampu melayani sejumlah besar pelanggan. Namun, jika terjadi sebarang kerosakan pada rangkaian, ia boleh mempengaruhi prestasi sebahagian atau keseluruhan ONU, bergantung kepada lokasi berlakunya kerosakan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, sebagai contoh, jika kerosakan terjadi pada bahagian penyuap, maka ia mempengaruhi seluruh rangkaian sehingga semua pelanggan tidak dapat menerima isyarat optik.

Tetapi, sekiranya kerosakan terjadi pada talian pengagihan sahaja, maka hanya satu atau sebahagian pelanggan sahaja yang terjejas.

“Antara penyebab menyumbang kepada kerosakan talian gentian adalah kesan daripada kemusnahan semula jadi seperti gempa bumi atau aktiviti pembinaan pada tapak yang menyebabkan gentian terpotong atau patah.

“Kabel yang terdedah ini boleh menyebabkan kemalangan kepada pengguna. Dalam keadaan yang terkawal, kabel gentian optik berupaya untuk bertahan sehingga 20 tahun,” katanya.

Beliau berkata, berbekalkan maklumat itu, satu inisiatif baru dirangka untuk membangunkan modul perlindungan dan pemulihan dalam rangkaian agihan FTTH pintar, penskalaan dan kecekapan rangkaian dan rangkaian berkeselamatan tinggi dalam rumah.

Ini, katanya, bagi menyelesaikan isu leher botol antara terminal luar dan terminal dalam rumah supaya setiap pengguna dapat menikmati perkhidmatan lebar jalur yang lebih besar.

“Penyelidikan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memperkenalkan satu bentuk mekanisma pemantauan terpusat bagi memudahkan pengendali rangkaian memantau status setiap talian yang menyambungkan kepada setiap pengguna dan pada masa sama mengesan sekiranya berlaku kerosakan pada talian berkaitan.

“Mekanisma pembaikpulihan kendiri diaktifkan bagi memastikan isyarat secara berterusan kepada pengguna.

“Selain itu, isu penskalaan telah diambil perhatian dalam mengembangkan rangkaian ini bagi memenuhi bilangan pengguna yang ramai serta mengurangkan penanaman semula kabel optik yang memerlukan kos tinggi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top