fahmy.azril@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa mempercepatkan kelulusan bersyarat untuk tujuan kecemasan bagi penggunaan vaksin COVID-19 jenis Sputnik V, Sinopharm, Moderna dan Johnson & Johnson di negara ini.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berpandangan langkah itu wajar bagi memastikan akses terhadap bekalan vaksin COVID-19 mencukupi.
“Hanya tiga vaksin telah mendapat kelulusan bersyarat untuk tujuan kecemasan oleh NPRA (Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) iaitu Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac.
“Justeru, kerajaan wajar mempercepatkan kelulusan bersyarat untuk tujuan kecemasan bagi beberapa vaksin lain seperti Sputnik V, Sinopharm, Moderna dan Johnson & Johnson.
“Kebanyakan vaksin tersebut telah mendapat kelulusan agensi kawalselia antarabangsa dan telah melalui skrutini klinikal yang sangat rumit dan komprehensif,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata Malaysia tidak boleh terlalu optimistik bahawa bekalan vaksin untuk negara akan sentiasa mencukupi ditambah pula stok untuk pelalian itu bergantung kepada bekalan luar.
Beliau berpandangan kepelbagaian kelulusan vaksin sangat strategik kepada negara bagi memastikan Malaysia mempunyai akses pelbagai vaksin lain terutama dalam tempoh yang memerlukan.
“Vaksin seperti Sputnik V contohnya mempunyai keberkesanan yang sangat tinggi dan datanya telah diterbitkan dalam Lancet, jurnal perubatan berwasit paling berwibawa yang hanya menerbitkan hasil penyelidikan paling unggul.
“Langkah mempercepatkan kelulusan itu juga tidak lain akan mempercepatkan proses vaksinasi nasional di tengah-tengah kemunculan varian baharu yang mungkin akan memerlukan Malaysia memberikan dos ketiga bagi merangsang imuniti.
“Apatah lagi apabila pengeluar seperti AstraZeneca telah mula mengeluarkan vaksin yang telah ditambah baik dan berkesan terhadap varian Beta yang dahulunya dikenali sebagai varian Afrika Selatan,” katanya.
Dengan banyak negara mula menempah vaksin sebagai persiapan untuk bekalan empat tahun akan datang, Mohamed Khaled berkata Malaysia perlu memastikan simpanan vaksin mencukupi sebagai persediaan melawan pandemik yang tidak diketahui bila akan berakhir sepenuhnya.
Katanya, perancangan kesihatan awam mesti mengambil kira pendekatan jangka masa panjang.
“Kita tidak boleh terus dengan strategi ‘fire fighting’. Oleh yang demikian, kerajaan mesti segera meluluskan secara bersyarat penggunaan beberapa vaksin lain tanpa berlengah.
“Ketelitian kita dalam memberikan kelulusan mesti seiring dengan kesegeraan yang sangat-sangat diperlukan oleh negara dalam saat kritikal ini,” katanya.
From: Fahmy
© New Straits Times Press (M) Bhd




