Pemuda PAS mencetuskan perhatian apabila mengangkat nama Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai calon perdana menteri parti itu.
Dalam satu hantaran di Facebook, sayap parti berkenaan menyifatkan beliau sebagai teknokrat dan pemimpin yang tenang serta berfokus kepada hasil, selain mendakwa Dr Sam telah membawa Terengganu ke tahap lebih tinggi.
Pemuda PAS cadang MB Terengganu calon PM
Menurut hantaran itu, Samsuri dilihat sebagai ilmuwan, teknokrat dan ahli politik yang bekerja untuk rakyat tanpa banyak drama politik.
“Andai kata Samsuri dicadangkan sebagai calon perdana menteri suatu hari nanti, apa pendapat rakyat Malaysia semua? Cuba komen,” kata hantaran itu.

Samsuri sebelum ini dinamakan sebagai Pengerusi baharu Perikatan Nasional menggantikan Muhyiddin Yassin yang meletak jawatan berkuat kuasa 1 Jan.
Sehari selepas itu, Naib Presiden PAS, Idris Ahmad memaklumkan golongan ulama dalam parti menyokong penuh pelantikan tersebut.
Idris yang juga ahli Majlis Syura Ulama berkata Presiden PAS, Abdul Hadi Awang turut mencadangkan nama Samsuri untuk jawatan itu dan menerima ‘sokongan padu daripada ulama, profesional dan aktivis’.

Menurut Pemuda PAS lagi, Samsuri bukanlah seorang ahli politik yang gemar berdrama, sebaliknya lebih dikenali sebagai pemimpin yang bekerja dalam diam tetapi membuahkan hasil nyata.
“Pendekatan ini amat disenangi oleh golongan atas pagar yang sudah muak dengan polemik dan drama politik yang berpanjangan,” katanya.
Artikel lain: Naib Presiden PAS ganti tempat Muhyiddin! Dr Samsuri dipilih Pengerusi PN yang baharu
Dari segi akademik, beliau memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Aeroengine Ignition and Combustion serta Ijazah Sarjana Sains dalam Combustion and Energy daripada University of Leeds.
Sejak 2018, Terengganu berjaya menarik pelaburan berjumlah RM14.86 bilion merentasi pelbagai sektor.
“Bagi 2025 pula, sehingga Jun sahaja, negeri ini telah mencatatkan pelaburan sebanyak RM6 bilion angka tertinggi dalam sejarah Terengganu bagi tempoh separuh tahun.
“Kadar pengangguran turut menurun kepada 2.8%, iaitu yang terendah dalam tempoh lebih 10 tahun bagi suku kedua 2025,” katanya.

Sumber: Facebook Pemuda PAS



