lokman.khairi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Sanggup meredah perjalanan 30 kilometer (km) dari Semenyih, Selangor ke Bazar Ramadan Desa Pandan, di sini, setiap hari semata-mata untuk mengemis.
Berbekalkan kerusi roda dan bakul berisi tisu, wanita berusia lewat 30-an dikatakan mampu meraih RM150 hingga RM200 sehari hasil simpati pengunjung bazar.
Tinjauan Harian Metro mendapati, wanita dipercayai warga asing itu tiba di tapak bazar seawal 4 petang dan akan memilih lokasi di pintu masuk bagi memastikan dia mendapat perhatian pengunjung.
Ketika didekati wartawan, wanita itu bagaimanapun cuba mengelak daripada menjawab soalan.
Hanya selepas dihulurkan wang, barulah dia membuka mulut untuk ‘berbual’.
“Saya tiada kerja, hanya boleh jual tisu RM1 setiap satu. Kalau orang beri wang lebih, saya terima sahaja.
“Kaki sakit sebab kemalangan. Datang sini dari Semenyih, ada kenalan tolong bawa,” dakwanya.
Sementara itu, peniaga bazar, Ahmad Fauzi Rahman, 42, berkata, wanita terbabit sudah beberapa kali dilihat berada di kawasan sama sejak awal Ramadan.
Menurutnya, pada awalnya dia menyangka wanita itu benar-benar menjual tisu, namun lama-kelamaan menyedari kebanyakan pengunjung sekadar menghulurkan wang tanpa mengambil apa-apa.
“Setiap hari memang nampak dia. Kadang-kadang sebelum orang ramai datang pun dia sudah ada. Saya perasan ada kenderaan turunkan dia tidak jauh dari sini.
“Ramai yang bersimpati sebab nampak dia berkerusi roda. Ada yang beri RM5, RM10 malah lebih. Tisu dalam bakul pun macam tak berkurang sangat,” katanya ketika ditemui.
Seorang lagi peniaga makanan, Norliza Hassan, 37, berkata, wanita itu dilihat aktif bergerak menghampiri pengunjung terutama pada waktu kemuncak antara jam 6.30 hingga 7 malam.
Katanya, ada pengunjung yang kurang selesa kerana dihampiri berkali-kali ketika sedang memilih juadah.
“Dia akan berhenti di setiap gerai dan tunggu orang bagi duit. Kalau tak bagi, dia akan gerak ke orang lain pula. Ada pelanggan saya beritahu mereka rasa serba salah kalau tak hulur apa-apa.
“Kami bukan tak simpati, tapi kalau perkara ini berterusan, ia boleh ganggu suasana bazar. Lagi pula kita tak pasti sama ada dia benar-benar perlukan bantuan atau ada pihak ambil kesempatan,” katanya.
Tinjauan juga mendapati terdapat beberapa individu lain yang dipercayai menjalankan kegiatan sama di sekitar pintu masuk bazar.
Tiga lelaki berpakaian jubah serta baju Melayu lengkap berkopiah memegang tabung mendakwa bagi mengutip sumbangan madrasah sekitar Lembah Klang.
Bagaimanapun, tiada sebarang dokumen kebenaran mengutip wang dari pihak berkuasa agama dipamerkan.
© New Straits Times Press (M) Bhd


