Kastam rampas vape, ganja bernilai lebih RM500,000

Kastam rampas vape, ganja bernilai lebih RM500,000

KANGAR: Sebanyak 9,400 unit peranti vape dan 20 kilogram dadah jenis kanabis dianggar bernilai RM500,000 dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis dalam dua serbuan berasingan di Kuala Perlis, awal Februari lalu.

Menerusi serbuan pertama pada 6 Februari lalu, pasukan operasi cawangan Penguatkuasaan Marin Kuala Perlis telah mengejar sebuah sampan dalam keadaan mencurigakan sekitar pukul 1.30 pagi di perairan Kurung Tengar, di sini.

Pengarah Kastam negeri, Ismail Hashim berkata, selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa, sampan yang dikemudi suspek kemudian memecut ke kawasan perairan cetek dan beberapa lelaki dikesan melarikan diri ke daratan.

“Hasil pemeriksaan ke atas sampan tersebut menemukan beberapa kotak mengandungi peranti vape pelbagai perisa dipercayai untuk diseludup ke negara jiran,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Ismail berkata, semua peranti vape disita berjumlah 9,400 unit dengan anggaran nilai RM454,000 selain melibatkan duti dan cukai sebanyak RM95,340.

Beliau berkata, selain itu, JKDM turut menyita sampan milik suspek bersama enjin dianggarkan bernilai RM50,000.

“Modus operandi suspek adalah dengan menggunakan laluan laut pada awal pagi bagi menyeludup peranti vape itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967,” katanya.

Dalam kes berasingan pada 10 Februari lalu, Ismail berkata, pasukan operasi JKDM Kuala Perlis turut membuat pemeriksaan di tebing sungai Kampung Bukit Tok Po sekitar pukul 10 malam yang membawa kepada penemuan dua bungkusan guni ditinggalkan dalam keadaan mencurigakan.

Beliau berkata, pemeriksaan ke atas guni itu mendapati terdapat 20 ketulan mampat dipercayai dadah jenis ganja dengan berat 20 kilogram bernilai RM62,000.

“Modus operandi sindiket adalah dengan meninggalkan barangan untuk dikutip individu tertentu dan mereka sering menukar lokasi untuk mengelakkan dikesan pihak berkuasa. Kes masih disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.-UTUSAN

Scroll to Top