GAZA – Seorang anggota tentera Israel Angkatan Pertahanan Israel (IDF) maut dalam satu insiden tembakan secara tidak sengaja di selatan Genting Gaza awal pagi Rabu, menurut pengumuman rasmi pihak tentera.
Mangsa dikenal pasti sebagai Staf Sarjan Ofri Yafe, 21, anggota Unit Peninjau Briged Payung Terjun IDF yang berasal dari HaYogev, sebuah komuniti pertanian (moshav) di Lembah Jezreel.
Berdasarkan siasatan awal IDF, kejadian berlaku kira-kira jam 2 pagi ketika dua pasukan Briged Payung Terjun melancarkan operasi rutin pengawalan berhampiran kawasan yang dikenali sebagai Yellow Line di wilayah Khan Yunis.
Operasi itu bertujuan memusnahkan infrastruktur Hamas di kawasan berkenaan.
Bagaimanapun, salah satu pasukan dipercayai tersalah mengenal pasti kumpulan kedua sebagai elemen musuh sebelum melepaskan tembakan.
Yafe dilaporkan mengalami kecederaan parah akibat tembakan tersebut.
Sebuah helikopter dihantar bagi memindahkannya ke hospital, namun beliau disahkan meninggal dunia ketika dalam usaha pemindahan.
IDF memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar insiden.
Menurut data IDF, daripada 472 anggota tentera Israel yang terbunuh dalam operasi darat di Gaza sejak konflik tercetus, seramai 80 daripadanya maut akibat insiden tembakan sesama sendiri dan kemalangan lain.
Selain itu, sebanyak 1,932 anggota dilaporkan cedera dalam insiden seumpamanya.
IDF menilai beberapa faktor menyumbang kepada kemalangan maut tersebut, termasuk masalah komunikasi antara pasukan, keletihan anggota serta kegagalan mematuhi prosedur operasi standard.
Yafe merupakan anggota kelima IDF yang terkorban di Gaza sejak pelaksanaan gencatan senjata pada Oktober 2025.
Yafe meninggalkan kedua-dua ibu bapanya, Hadas dan Iftach, serta tiga adik-beradik iaitu Noy, Tzuf dan Itamar.
Menurut keluarganya, beliau meminati aktiviti meluncur ombak, mendaki dan gemar meluangkan masa bersama keluarga serta rakan-rakan.- Agensi
Ringkasan AI
- Anggota tentera Israel maut dalam insiden tembakan tidak sengaja di selatan Semenanjung Gaza
- Mangsa merupakan Staf Sarjan Ofri Yafe, 21, dari Unit Peninjau Briged Payung Terjun IDF
- Kejadian berlaku ketika operasi rutin dengan tujuan memusnahkan infrastruktur Hamas
- Salah satu pasukan tersalah mengenal pasti pasukan kedua sebagai musuh sebelum menembak
- Yafe dilaporkan mengalami kecederaan parah dan meninggal dalam usaha pemindahan ke hospital



