mhafis@mediaprima.com.my
Putrajaya: Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nassir disahkan dalam keadaan selamat, stabil dan kekal bersemangat tinggi untuk meneruskan tanggungjawab dan amanah demi keselamatan negara.
Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain sudah turun padang ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam pagi tadi, bagi meninjau situasi, mendapatkan maklumat terperinci berhubung insiden yang berlaku, memastikan tahap keselamatan terkawal serta menyatakan sokongan penuh kepada pegawai dan anggota barisan hadapan yang bertugas.
AKPS berkata, AKPS Bukit Kayu Hitam menerima beberapa ancaman sejak kebelakangan ini.
“Insiden yang berlaku pagi tadi adalah satu tindakan tidak bertanggungjawab yang dipandang serius dan sama sekali tidak akan dikompromi.
“AKPS menegaskan bahawa sebarang bentuk ancaman, ugutan atau serangan terhadap petugas keselamatan negara adalah perbuatan jenayah yang tidak boleh diterima,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut AKPS, tindakan tegas akan diambil selaras dengan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang cuba menggugat keselamatan serta kedaulatan pintu masuk negara.
“Insiden ini sama sekali tidak akan melemahkan semangat warga AKPS. Sebaliknya, terus memperkukuh iltizam seluruh pegawai dan anggota untuk terus berdiri teguh, berani dan profesional dalam melaksanakan amanah menjaga keselamatan sempadan negara.
“AKPS akan terus memastikan setiap pintu masuk negara kekal selamat, terkawal dan berdaulat, serta tidak akan sesekali berkompromi terhadap sebarang ancaman yang cuba menggugat keselamatan, keamanan dan kedaulatan tanah air,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




