Joy Red Velvet pilih Kuala Lumpur untuk jelajah Asia

Joy Red Velvet pilih Kuala Lumpur untuk jelajah Asia

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Anggota kumpulan k-pop Red Velvet, Joy bakal menggegarkan Zepp Kuala Lumpur, di sini, menerusi jelajah Asia Joy Splash 2026 pada 25 April depan.

Konsert solo dibawakan Zues Event Sdn Bhd akan bermula jam 8 malam istimewa buat penantian peminat terutama ReVeluv Malaysia.

Ia bakal menjanjikan kualiti produksi audio-visual yang imersif dan susunan persembahan yang memukau.

Selain vokal unik dan memikat yang menjadi identiti Joy atau nama sebenar Park Soo-young ini, peminat bakal disajikan dengan segmen interaktif dan pelbagai kejutan istimewa yang dirancang khas untuk mereka.

Pengarah Zues Event Jeffrey Chin berkata, konsert selama kira-kira dua jam berkenaan padat dengan persembahan hebat, momen penuh emosi, segmen interaktif serta pemberian hadiah.

“Kedatangan Joy sangat tepat pada waktunya sebagai respons ke atas ReVeluv Malaysia yang memberi sokongan yang luar biasa selama bertahun-tahun.

“Kami merasakan Kuala Lumpur wajar menjadi sebahagian daripada babak baharu solo Joy menerusi “Joy Splash” dengan matlamat untuk mencipta satu malam istimewa antara hubungan penyanyi ini dengan peminatnya,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Menurutnya, pihaknya berharap peminat di Malaysia dapat memberi sokongan padu dan bersedia untuk mencipta suasana positif yang tidak dapat dilupakan.

“Paling utama, kami mahu peminat pulang dengan perasaan gembira, puas hati dan bangga kerana menjadi sebahagian daripada Joy Splash di Kuala Lumpur,” katanya.

Harga tiket bagi menyaksikan konsert solo ini bermula dari RM398 hingga RM698 yang akan mula dijual pada 7 Mac depan.

Penganjur turut menawarkan pelbagai manfaat eksklusif buat peminat yang hadir bagi memberikan pengalaman yang lebih dekat dan bermakna.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top