Kuala Lumpur: Sebanyak 80 hidangan istimewa menanti pengunjung sempena bufet Ramadan bertemakan Warisan Citarasa Asli 2 Benua yang dianjurkan oleh RISDA Security and Services Sdn Bhd (RSS) dengan kerjasama Rumah Makan Patin Pasu.
Ketua Pegawai Eksekutif RSS, Putera Sidek berkata, ia menawarkan gabungan unik masakan tradisional Melayu dan sajian Barat bagi memenuhi selera pelbagai lapisan masyarakat.
Menurutnya, penganjuran bufet Ramadan kali ini merupakan langkah baharu syarikat dalam memperkukuh kedudukan dalam industri katering dan hospitaliti meskipun telah lebih sedekad berpengalaman dalam pengurusan acara.
“RISDA berpengalaman lebih 10 tahun dalam pengurusan acara dan ini merupakan kali pertama kita mengorak langkah untuk bufet Ramadan dan secara langsung meningkatkan lagi cabang perniagaan,” katanya.
Tambahnya, program berlangsung di Dewan Menara Kumpulan RISDA itu bermula 23 Februari hingga 18 Mac ini membabitkan kerjasama strategik bersama Rumah Makan Patin Pasu yang dipilih berdasarkan kepakaran restoran itu dalam menyediakan masakan Melayu asli, sekali gus menjamin kualiti hidangan yang ditawarkan kepada pelanggan.
Sementara itu, Pengasas bersama Rumah Makan Patin Pasu, Ridzuan Anuar memaklumkan bahawa sebanyak 80 jenis lauk-pauk disediakan setiap hari dan dibahagikan kepada tiga set menu secara bergilir (Set A, B dan C) bagi memastikan kepelbagaian.
Antara tarikan utama termasuk daging salai, itik salai dan keli salai yang dimasak mengikut resipi tradisi Melayu. Bagi penggemar hidangan Barat pula, menu seperti kambing bakar, ‘lamb stew’, lasagna serta pelbagai pilihan pasta turut disediakan dan dikendalikan oleh cef bertauliah.
Dewan yang terletak di tengah ibu kota itu mampu menampung sehingga 500 tetamu pada satu-satu masa serta dilengkapi kemudahan surau dan parkir percuma.
Suasana berbuka turut diserikan dengan persembahan kumpulan muzik (live band) bagi menambah kemeriahan Ramadan.
Harga bufet ditawarkan pada kadar RM139 bagi dewasa, RM110 untuk kakitangan dan pesara RISDA, manakala RM88 bagi kanak-kanak berusia tujuh hingga 11 tahun serta warga emas 60 tahun ke atas.
Menariknya potongan diskaun turut diberikan kepada tempahan berkumpulan, iaitu hingga 10 peratus bagi 30 hingga 40 orang dan 15 peratus untuk tempahan melebihi 41 orang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




