Dasar Trump usir PATI ke negara ketiga tidak sah

Dasar Trump usir PATI ke negara ketiga tidak sah

Washington: Seorang hakim persekutuan Amerika Syarikat (AS) memutuskan pada Rabu bahawa dasar pentadbiran Trump untuk mengusir pendatang tanpa izin bukan ke negara asal mereka adalah menyalahi undang-undang.

Hakim Daerah Brian Murphy menangguhkan keputusannya mengenai apa yang dipanggil “pengusiran ke negara ketiga” selama 15 hari untuk membolehkan kerajaan memfailkan rayuan.

“Kes ini adalah mengenai sama ada Kerajaan boleh, tanpa notis, mengusir seseorang ke negara yang salah, atau negara di mana dia mungkin dianiaya, atau diseksa,” tulis Murphy.

Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) mengatakan bahawa adalah “baik” untuk mengusir pendatang ke negara ketiga, selagi DHS tahu mereka tidak akan ditembak semasa ketibaan, kata Murphy.

“Ia tidak baik, dan juga tidak sah,” katanya.

Hakim itu menyatakan bahawa Kongres menjadikan dasar AS untuk tidak mengusir orang ke negara di mana nyawa mereka akan terancam atau mereka boleh diseksa.

Bagaimanapun, di bawah dasar DHS, “pegawai imigresen tidak perlu memberi notis atau sebarang peluang untuk membantah sebelum memindahkan seseorang ke negara yang tidak dikenali dan berpotensi berbahaya,” kata Murphy.

Murphy, yang dilantik oleh presiden Demokrat Joe Biden, sebelum ini cuba menghalang penghantaran pulang sekumpulan pendatang ke Sudan Selatan yang dilanda perang tetapi ditolak oleh Mahkamah Agung yang didominasi oleh golongan konservatif.

Menurut pihak berkuasa AS, lapan lelaki itu – dua dari Myanmar, dua dari Cuba, dan masing-masing seorang dari Vietnam, Laos, Mexico dan Sudan Selatan – adalah penjenayah yang disabitkan kesalahan.

Pentadbiran Trump mempertahankan tindakan itu memandangkan negara asal sebahagian daripada mereka yang disasarkan untuk diusir, kadangkala enggan menerimanya.

Donald Trump berkempen untuk jawatan presiden dengan berjanji untuk mengusir berjuta-juta pendatang tanpa izin dari AS, dan beliau mengambil beberapa tindakan yang bertujuan untuk mempercepatkan pengusiran sejak kembali ke Rumah Putih.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top