Perlis rekod sifar kes keracunan makanan sepanjang Ramadan

Perlis rekod sifar kes keracunan makanan sepanjang Ramadan

ARAU: Perlis merekodkan sifar kes keracunan makanan sepanjang Ramadan sejak tempoh lima tahun dari 2021 sehingga 2025.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan negeri, Megat Hashirat Hassan berkata, para peniaga khususnya dinasihatkan agar terus menitik beratkan aspek kebersihan dan keselamatan makanan bagi mengelakkan insiden keracunan.

Katanya, Jabatan Kesihatan negeri juga sentiasa komited dalam memastikan rakyat dapat menikmati juadah bersih, selamat dan bebas daripada risiko keracunan makanan.

“Berikutan itu, orang ramai turut dinasihatkan untuk menyalurkan sebarang maklum balas atau aduan kebersihan dan keselamatan makanan
bazar Ramadan melalui kod QR yang tertera di sepanduk atau saluran media sosial Jabatan Kesihatan negeri,” katanya ketika ditemui selepas Program Kick-Off Keselamatan Makanan di bazar Ramadan Arau di sini semalam.

Megat berkata, pemantauan berhubung keselamatan makanan juga telah dilaksanakan sebelum bermula Ramadan dengan pemeriksaan dilakukan di peringkat sumber meliputi bahan mentah dan tempat penyediaan membabitkan peniaga-peniaga yang dilesenkan oleh Majlis Perbandaran Kangar (MPK).

Katanya, sepanjang Ramadan juga, aktiviti pemantauan dilakukan di lapan lokasi bazar Ramadan yang beroperasi di seluruh negeri ini.

“Dalam masa sama, pensampelan makanan berisiko di bazar-bazar Ramadan juga turut dijalankan,” katanya.

Katanya, pada tahun lalu, sebanyak 854 premis telah diperiksa semasa Ramadan dan semua premis terbabit didapati mendapat markah penilaian kebersihan melebihi 80 peratus.

Katanya, pemeriksaan tersebut melibatkan 1,479 pengendali makanan dan sembilan premis telah dikenakan kompaun berikutan tidak memakai pakaian peralatan perlindungan diri (PPE) lengkap semasa mengendalikan makanan, selain kebersihan premis kurang memuaskan.

“Jabatan Kesihatan negeri tidak teragak-agak mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas pengusaha yang masih enggan berubah selepas nasihat dan bimbingan diberikan kepada mereka,” katanya.-UTUSAN

Scroll to Top