ferzalfie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari, mahu momentum dan ‘hype’ awal bagi Sukan Sea Malaysia 2027 mula digerakkan dari sekarang, dengan peranan besar dimainkan rakan media.
Beliau berkata, Malaysia selaku tuan rumah edisi 2027 perlu memastikan temasya itu bukan sekadar penganjuran biasa, sebaliknya muncul antara yang terbaik dalam sejarah penganjuran Sukan Sea.
Menurutnya, pembentukan suasana keterujaan awal amat penting bagi memastikan sokongan rakyat, khususnya golongan muda, terus memuncak menjelang 2027.
“Kita dah perlu wujudkan ‘hype’ Sukan Sea itu sendiri. Kita akan menjadi hos pada 2027. Jadi saya harap semua memainkan peranan masing-masing.
“KBS akan cuba sebaik mungkin untuk menganjurkan Sukan Sea ini dan menjadi antara yang terbaik. Ini sudah pasti memerlukan bantuan rakan media untuk memastikan ia dapat dijayakan dengan cemerlang,” katanya.
Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Iftar Media di Subang Jaya.
Taufiq turut menegaskan hubungan rapat antara kementerian dan media penting dalam menyampaikan mesej berkaitan pembangunan belia dan sukan kepada rakyat.
Beliau berkata, media bukan sahaja medium penyampai maklumat, malah menjadi jambatan antara kementerian dan masyarakat di peringkat akar umbi.
Katanya, program libat urus bersama media akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan kementerian memahami isu sebenar di lapangan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




