SHAH ALAM – WCE Holdings Berhad (WCEHB) mencatatkan peningkatan hasil sebanyak RM705.5 juta bagi tempoh sembilan bulan (9B) berakhir 31 Disember tahun lalu (TK2026).
Hasil tersebut menyaksikan peningkatan signifikan sebanyak 127 peratus berbanding RM311.0 juta pada tempoh yang sama tahun lalu, didorong oleh kemajuan pembinaan yang mampan serta peningkatan volum trafik yang stabil.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lyndon Alfred Felix berkata, bagi suku semasa tempoh tiga bulan berakhir 31 Disember 2025 (S3 TK2026), hasil direkodkan pada RM157.3 juta, iaitu peningkatan sebanyak 87 peratus berbanding suku yang sama tahun sebelumnya.
Ujarnya, keputusan kewangan ini menunjukkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM39.3 juta bagi S3 TK2026 dan RM109.8 juta bagi 9B TK2026.
“Kami melihat trend positif dalam hasil kutipan tol dan peningkatan volum trafik yang berterusan.
“Pencapaian ini membuktikan peranan strategik WCE sebagai laluan pesisiran pilihan utama bagi pengguna,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurut Lyndon Alfred, keupayaan WCEHB dalam menjana aliran tunai kekal positif dengan pencapaian Pendapatan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) bagi 9B TK2026.
Kata beliau, prestasi itu menyaksikan peningkatan kepada RM94.0 juta, iaitu pertumbuhan sebanyak 17 peratus tahun ke tahun.
“Walaupun keputusan kewangan mencatatkan pelarasan perakaunan peringkat awal susulan pembukaan seksyen baharu, prestasi EBITDA yang kukuh mencerminkan keuntungan operasi teras kami.
“Keutamaan kami kini adalah untuk memastikan baki tiga seksyen terakhir disiapkan mengikut jadual bagi melengkapkan keseluruhan jajaran, sekali gus mengoptimumkan potensi hasil dan memastikan keuntungan yang mampan untuk jangka masa panjang,” ujarnya.
Ujar Lyndon Alfred, hasil kutipan tol meneruskan laluan pertumbuhan yang baik, mencecah RM45.9 juta pada S3 TK2026 dan RM132 juta bagi 9B TK2026, iaitu peningkatan masing-masing sebanyak 41 peratus serta 49 peratus.
Menurut beliau, pertumbuhan ini merupakan hasil langsung daripada peningkatan volum trafik susulan pembukaan Seksyen 1 dan 2.
“Hasil pembinaan dalam segmen konsesi bagi S3 dan 9B TK2026 turut menunjukkan peningkatan masing-masing sebanyak 151 peratus dan 162 peratus.
“Ini didorong oleh aktiviti pembinaan yang giat di jajaran baki (Seksyen 3 dan 7), serta pembangunan di Kawasan Rehat dan Rawat (RSA),” menurutnya.
Tambahnya, cabang pembinaan WCEHB iaitu WCE Maju Sdn Bhd turut mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 25 peratus bagi S3 TK2026 (RM18.1 juta) dan 134 peratus bagi 9B TK2026 (RM88.1 juta).
Ringkasan AI
- WCE Holdings Berhad mencatatkan peningkatan hasil sebanyak RM705.5 juta bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Disember tahun lalu
- Hasil ini meningkat 127 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu disebabkan oleh kemajuan pembinaan dan peningkatan volum trafik
- Ketua Pegawai Eksekutif, Lyndon Alfred Felix, menyatakan hasil bagi suku tiga bulan berakhir 31 Disember 2025 mencapai RM157.3 juta, naik 87 peratus
- Walaupun terdapat kerugian sebelum cukai, pencapaian Pendapatan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) 9B TK2026 tetap positif
- Keutamaan WCEHB adalah menyiapkan baki tiga seksyen terakhir untuk mengoptimumkan potensi hasil dan memastikan keuntungan jangka panjang


