Kuala Lumpur: Rakyat Malaysia di Arab Saudi khususnya di wilayah barat negara itu dan yang sedang melaksanakan umrah dan ziarah dinasihatkan supaya peka dengan perkembangan semasa dan kekal tenang, demikian menurut notis Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah.
Notis yang dimuat naik di Facebook Konsulat Jeneral berkenaan juga meminta rakyat Malaysia yang berada di kawasan itu untuk segera memuat turun aplikasi MyWorld Alert bagi memantau situasi semasa dan memudahkan sebarang bantuan diberikan sekiranya perlu.
Ia turut mengingatkan rakyat Malaysia supaya elakkan daripada menulis sebarang perkara yang boleh ditafsir sebagai mengganggu elemen ketenteraman negara berkenaan yang merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang tempatan.
Menurut notis itu, situasi di seluruh Arab Saudi pada ketika ini adalah selamat dan terkawal dan Konsulat Jeneral Malaysia Jeddah sentiasa memantau perkembangan dan keadaan terkini di rantau berkenaan.
“Konsulat Jeneral Malaysia Jeddah sentiasa berkomunikasi dengan pihak berkuasa mengenai situasi semasa di mana sebarang perkembangan penting yang memerlukan tindakan lanjut akan dimaklumkan dengan kadar segera,” menurut notis itu.
Konsulat Jeneral Malaysia Jeddah boleh dihubungi melalui telefon di talian +966126727740 (kecemasan sahaja) atau e-mel di mwjeddah@kln.gov.my.
Aplikasi MyWorld Alert boleh dimuat turun dengan mengimbas kod QR yang dikongsi di Facebook Konsulat Jeneral itu.
Sementara itu, Kedutaan Besar Malaysia di Kuwait menerusi Facebook miliknya menasihatkan semua rakyat Malaysia supaya mendapatkan maklumat terkini melalui saluran rasmi, mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan serta memastikan butiran hubungan mereka dikemas kini dengan pihak kedutaan.
“Buat masa ini, sila bertenang dan kekal berwaspada serta elakkan daripada menyebarkan maklumat yang tidak disahkan,” menurut kedutaan itu, sambil menambah bahawa mereka yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi pihak kedutaan di talian +965 9678 3036 (kecemasan) atau e-mel di mwkuwait@kln.gov.my.
© New Straits Times Press (M) Bhd




