Tumpu bina masjid, surau dan sekolah sementara penduduk Gaza

Tumpu bina masjid, surau dan sekolah sementara penduduk Gaza

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kini lebih 1.5 juta kanak-kanak di Gaza memerlukan akses pendidikan, namun hanya kira-kira 200,000 sahaja yang dapat meneruskan pembelajaran ketika ini susulan kemusnahan prasarana akibat konflik berpanjangan.

Muslim Care Malaysia (MCM) kini memberi tumpuan untuk membina 17 masjid dan surau serta sekolah sementara untuk kegunaan kira-kira 600 pelajar sehari di Gaza bagi memastikan kelangsungan ibadah dan pendidikan penduduk Palestin.

Presidennya, Zulkifli Wajihan berkata, inisiatif itu dilaksanakan ketika keadaan di Gaza masih kritikal walaupun terdapat naratif yang cuba menggambarkan wilayah berkenaan sudah kembali selamat.

Menurutnya, laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan sekurang-kurangnya 300,000 khemah baharu atau tempat perlindungan lebih selamat diperlukan segera di Gaza pada masa ini.

“Daripada 1,275 masjid di seluruh Gaza, sebahagian besar musnah sepenuhnya manakala yang lain tidak boleh lagi digunakan.

“Jadi, penduduk Gaza kini menunaikan solat di celahan masjid yang runtuh, di kawasan lapang atau di dalam masjid dan surau sementara yang baru di bina,” katanya ketika berucap pada Majlis Iftar Amal MCM 2026, di Dewan Semarak Kayangan, Balai FELDA, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi pembinaan kemudahan asas, satu masjid memerlukan dana kira-kira AS$10,000 (RM39,060) manakala sebuah sekolah pula memerlukan sekitar AS$70,000 (RM237,700).

Zulkifli berkata, MCM sendiri mengendalikan sebuah sekolah sementara yang mampu memuatkan 200 pelajar bagi satu sesi dengan tiga sesi dijalankan setiap hari.

Katanya, ia menjadikan keseluruhan hanya 600 kanak-kanak menerima manfaat pendidikan.

Dalam pada itu, beliau berkata, MCM turut merancang program pendidikan dalam talian bagi memastikan pelajar Gaza yang tiada akses ke sekolah fizikal terus belajar.

“Melalui online education (pendidikan dalam talian) pelajar Gaza tetap boleh menimba ilmu walaupun tidak dapat hadir ke sekolah,” katanya.

Selain itu, katanya, apabila tercetusnya Taufan al-Aqsa, MCM juga sudah menyalurkan bantuan sejak hari keempat.

Katanya, ia sudah berlangsung selama 872 hari membabitkan sebahagian penduduk Gaza menerima bantuan daripada rakyat Malaysia melalui MCM.

“Secara purata, MCM membelanjakan RM15,000 sehari untuk bantuan di Gaza dalam bentuk penyediaan makanan, air bersih, khemah, panel elektrik solar, pakaian musim sejuk serta surau dan sekolah sementara.

“Ini bermakna kira-kira RM11 juta sudah dibelanjakan sepanjang tempoh sejak lebih dua tahun lalu,” katanya.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata, tujuan iftar amal ini diadakan adalah untuk mengutip dana daripada rakyat Malaysia yang prihatin untuk disalurkan ke Gaza.

“Insya-Allah, harapan kami agar bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan dan dapat meringankan beban,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top