MCM pastikan telus salur dana sumbangan kemanusiaan

MCM pastikan telus salur dana sumbangan kemanusiaan

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Muslim Care Malaysia (MCM) menegaskan komitmennya untuk kekal telus dalam penyaluran sumbangan misi kemanusiaan, susulan isu melanda pertubuhan bukan kerajaan (NGO) baru-baru ini.

Media sebelum ini melaporkan ada NGO ‘popular’ yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan penyelewengan dana awam.

Presidennya, Zulkifli Wajihan berkata, amat malang sekiranya berlaku ketidaktelusan dalam penyampaian sumbangan kepada negara bergolak seperti Palestin kerana ia membabitkan amanah serta harapan masyarakat yang mahu sumbangan sampai kepada golongan selayaknya.

“Bagaimana memastikan sumbangan itu sampai? Pertama, penyumbang perlu meminta bukti daripada organisasi bahawa bantuan itu benar-benar sampai.

“Bukti itu boleh melalui video yang mungkin boleh dimanipulasi, tetapi kita boleh nilai kerana tidak mungkin video yang sama digunakan setiap hari dan orang yang menerima bantuan juga bercakap perkara berbeza.

“Kita sebagai organisasi juga perlu memastikan ketelusan dengan menerbitkan bukti di media sosial,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Iftar Amal MCM 2026, di Dewan Semarak Kayangan, Balai FELDA, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya bersedia menerima kunjungan orang ramai pada bila-bila masa ke pejabat mereka bagi mendapatkan penjelasan lanjut dalam urusan penyaluran bantuan.

Katanya, MCM juga tiada masalah untuk membawa penyumbang atau wakil syarikat bersama-sama ke lokasi penghantaran bantuan, sebagai menjamin aktiviti penyaluran dana benar-benar dilaksana.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, pihaknya antara NGO yang kerap mengajak media arus perdana mengikuti misi luar negara bagi membuktikan ketelusan operasi serta pengurusan bantuan yang dilaksanakan.

“Tiada apa yang hendak disembunyikan kerana kebanyakan misi luar negara seperti ke Aceh, Gaza dan Syria, kita akan jemput media bersama dan mereka boleh lihat sendiri bagaimana keadaan tempat penyimpanan serta kehidupan kami di sana yang sederhana,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, walaupun kebelakangan ini berlaku insiden membabitkan beberapa NGO hingga mencetuskan kecurigaan dan persepsi negatif, namun MCM sendiri masih menerima kepercayaan daripada orang ramai.

“MCM berharap orang ramai melihat media sosial kami kerana banyak video dimuat naik oleh pengarah antarabangsa yang juga Pengerusi Muslim Community Palestine.

“Setiap hari apa yang dilakukan didokumentasikan dan dimuat naik ke media sosial sebagai arkib kami,” katanya.

Muka depan Harian Metro melaporkan, sekurang-kurangnya tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ‘popular’ berada dalam radar SPRM selepas dikesan mengumpul ‘harta haram’ hasil kutipan dana jutaan ringgit.

Mendedahkan perkara itu secara eksklusif kepada Harian Metro, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, risikan dan siasatan sudah dilakukan pihaknya terhadap NGO berkenaan.

Ia kemudian disusuli dengan beberapa siri tangkapan ke atas pengurusan NGO yang terlibat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top