nfazlina@nstp.com.ny
Tumpat: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan menumpaskan aktiviti penyeludupan minyak masak ke negara jiran yang menggunakan khidmat tonto di Kampung Periok, Chabang Empat, di sini, kelmarin.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Kelantan, Aswadi Jaafar berkata, serbuan pada 8.30 pagi itu membawa kepada rampasan 4.6 tan minyak masak bersubsidi.
Beliau berkata, ketika anggota KPDN mengekori lori berkenaan, sebuah kenderaan pacuan empat roda dikesan bertindak sebagai tonto bagi membantu melancarkan pergerakan lori terbabit.
“Kedua-dua kenderaan itu kemudian memasuki kawasan kampung sebelum kita melakukan serbuan, namun seorang lelaki yang dipercayai pemandu lori bertindak melarikan diri ke dalam semak sebaik sedar kehadiran pihak berkuasa.
“Lori berkenaan ditinggalkan dalam keadaan semua pintu tidak berkunci, manakala pintu kiri bahagian penyimpanan barangan didapati terbuka. Kenderaan Toyota Hilux yang dipercayai bertindak sebagai kenderaan pengiring turut ditinggalkan di tepi jalan berhampiran lokasi kejadian
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati lori berkenaan dipenuhi dengan 4,692 kilogram (kg) minyak masak peket satu kg pelbagai jenama yang disyaki untuk diseleweng.
“Nilai keseluruhan rampasan minyak masak dianggarkan lebih RM56,000 termasuk rampasan lori,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Jelasnya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan niat untuk melakukan kesalahan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




