khairil.ashraf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kementerian Luar memaklumkan sedang memantau secara berterusan perkembangan persekitaran keselamatan yang tidak menentu di Timur Tengah dan melaksanakan tindak balas konsular, susulan serangan yang dilakukan oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran.
Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata, keutamaan pihaknya kekal terhadap keselamatan dan kebajikan warganegara Malaysia di negara terjejas.
“Sejak pemakluman terdahulu, perwakilan diplomatik kami juga telah menghulurkan bantuan konsular kepada rakyat Malaysia yang terkandas di beberapa buah negara akibat pembatalan penerbangan. Semua individu yang dihubungi kekal selamat.
“Pada masa pemakluman ini, perwakilan kami sedang menghulurkan bantuan atau sedang berhubung dengan rakyat Malaysia yang terkandas, antara lainnya di Arab Saudi, United Kingdom, Syria, Jordan dan Emiriah Arab Bersatu (UAE),” katanya.
Katanya, memandangkan situasi semasa tidak menentu serta gangguan penerbangan dan penutupan ruang udara secara tiba-tiba, Kementerian Luar menasihatkan agar semua pengembara Malaysia berhubung terus dengan syarikat penerbangan masing-masing untuk mendapatkan jadual penerbangan dan pelarasan laluan yang terkini.
“Bilik Operasi Kementerian Luar Negeri di Putrajaya sedang giat menyelaraskan usaha-usaha konsular.
“Kementerian menggesa semua rakyat Malaysia agar kekal tenang, mengelakkan penyebaran khabar angin yang tidak ditentusahkan dan hanya bergantung kepada sumber berita rasmi serta saluran rasmi kementerian untuk mendapatkan maklumat tepat,” katanya.
Kementerian Luar turut menasihatkan semua rakyat Malaysia agar menangguhkan semua perjalanan yang tidak penting ke rantau itu pada masa terdekat serta mendaftar keberadaan mereka dengan segera melalui E-Konsular di https://ekonsular.kln.gov.my untuk memudahkan komunikasi dan bantuan.
Selain itu katanya, semua rakyat Malaysia dinasihatkan agar mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan, berlindung di tempat selamat jika dinasihatkan dan sentiasa mengikuti laman media sosial rasmi perwakilan diplomatik Malaysia untuk kemas kini tempatan semasa.
Menurutnya, untuk mendapatkan bantuan kecemasan konsular, rakyat Malaysia di kawasan terjejas yang tidak dapat menghubungi Perwakilan Diplomatik Malaysia boleh menghubungi Bilik Operasi Kementerian secara terus di talian +603-8887 4570 atau melalui e-mel di dutyofficer@kln.gov.my.
© New Straits Times Press (M) Bhd




