PEMANGKU Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menegur sikap segelintir kelab bola sepak tempatan yang tidak menunjukkan langkah untuk menyumbang kepada mata ranking ‘Member Association’ (MA).
Baginda berkata, Johor Darul Ta’zim (JDT) satu-satunya kelab yang menyumbang mata MA dan pasukan dari Malaysia hanya bermain di Asia atas tiket Harimau Selatan.
“Kita adalah satu-satunya kelab yang menyumbang mata. Yang ada hanya pandai drama depan penyokong sendiri untuk tutup kegagalan masing-masing. Pergi Asia pun atas tiket JDT
“Asyik main skrip yang sama setiap tahun. Kita didengki, VAR (video bantuan pengadil) salah, pengadil salah, semua salah JDT, salah FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia), tetapi diri sendiri tak pernah salah.
“Sedangkan diri sendiri yang gagal. Gagal dan tak boleh terima hakikat,” titah baginda.
Baginda meninggalkan komen tersebut pada satu hantaran di laman Instagram Official Johor sebagai reaksi balas kepada kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Luis Garcia berhubung kedudukan ranking ‘Member Association’ (MA) Malaysia yang kini berdepan risiko.
Terdahulu, Garcia menyuarakan kebimbangan mengenai nasib slot kejohanan kelab Asia buat Malaysia sekiranya kelab-kelab tempatan lain terus gagal menyumbang mata MA di pentas antarabangsa.
Jelas beliau, walaupun JDT konsisten bersaing di tahap tertinggi dan telah menyumbang lebih 70 peratus daripada jumlah mata keseluruhan, kedudukan MA Malaysia tidak mampu bertahan lama jika hanya bergantung kepada satu pasukan.
“JDT berjaya mengutip banyak mata dengan kelayakan ke Pusingan 16 Terbaik ACLE (Liga Juara-Juara AFC Elit), namun malangnya mata MA akan dijumlahkan dan kemudian dibahagikan dengan jumlah pasukan dari Malaysia yang bertanding di Asia, dan perkara itu telah mengekang kedudukan ranking MA kita.
“Singapura dan Indonesia telah mengutip lebih banyak mata berbanding Malaysia pada musim ini dengan adanya dua pasukan masing-masing menyumbang mata, manakala Thailand dan Australia pula semakin ke hadapan apabila pasukan-pasukan mereka secara kolektif menyumbang mata dengan konsisten,” ujarnya.
Ringkasan AI
- Pemangku Sultan Johor menegur kelab bola sepak tempatan kerana tidak menyumbang kepada ranking ‘Member Association’
- Johor Darul Ta’zim (JDT) satu-satunya kelab yang menyumbang mata MA untuk Malaysia
- Kenyataan ini disuarakan sebagai reaksi kepada kedudukan ranking MA Malaysia yang berdepan risiko
- Kedudukan MA Malaysia bergantung kepada sumbangan mata dari satu pasukan sahaja tidak akan bertahan lama
- Singapura dan Indonesia telah berjaya mendapat lebih banyak mata berbanding Malaysia musim ini dengan dua pasukan menyumbang mata



