Bazar Ramadan di seluruh negara bebas keracunan-KKM

Bazar Ramadan di seluruh negara bebas keracunan-KKM

KOTA BHARU: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan tiada sebarang episod keracunan makanan direkodkan melibatkan bazar Ramadan di seluruh negara sepanjang 10 hari umat Islam menjalani ibadah puasa.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, perkembangan itu amat melegakan memandangkan bazar Ramadan kini memasuki minggu kedua operasi.

“Alhamdulillah, sehingga semalam, 28 Februari, tiada episod keracunan makanan yang direkodkan melibatkan bazar Ramadan pada kali ini.

“Bagaimanapun, sepanjang tempoh itu, KKM telah merekodkan 12 aduan berkaitan bazar Ramadan di seluruh negara, dengan empat daripadanya diterima menerusi aplikasi WhatsApp yang menyentuh isu kebersihan makanan dan lain,” katanya  kepada pemberita pada Majlis Iftar Perdana di Masjid Al-Husna, di sini hari ini.

Dr. Dzulkefly memberitahu, setakat ini tiada sebarang kompaun dikeluarkan kerana tahap pematuhan peniaga didapati sangat baik.

Katanya, KKM berharap prestasi baik itu berterusan sehingga ke penghujung Ramadan.-UTUSAN

Scroll to Top