Hakim Danish kecewa sekadar di tangga ke-18

Hakim Danish kecewa sekadar di tangga ke-18

PETALING JAYA: Pelumba negara, Hakim Danish Ramli bergelut dengan prestasi pada penampilan sulung semusim penuh bagi saingan Moto3 selepas dia membuka aksinya di kedudukan ke-18 pada Grand Prix Thailand di Buriram, Thailand, semalam.

Kedudukan tersebut bermakna pelumba AEON Crecit-MT Helmets-MSi itu gagal mengutip mata selepas mencatat masa 32 minit 39.996 saat (s) di Litar Antarabangsa Chang.

David Alamansa dari Sepanyol yang mewakili pasukan Liqui Moly Dynavolt Intact GP menjuarai perlumbaan pusingan pertama itu dengan lakaran masa terpantas 32:14.186s.

Rakan senegaranya, Maximo Quiles dari CFMOTO Gaviota Aspar Team (32:14.189s) di tangga kedua dan wakil Argentina, Valentin Perrone yang bernaung di bawah pasukan Red Bull KTM Tech3 di tempat ketiga (32:23.666s).

Hakim Danish berkata, keputusan di tangga ke-18 bukanlah pencapaian yang diharapkan dan dia akui berdepan kesukaran untuk bersaing dengan pelumba yang berada di kelompok hadapan.

“Hendak ikut kumpulan pelumba di hadapan susah kerana mereka agak laju dan saya berusaha keras untuk pergi ke hadapan,” katanya ketika ditemu bual selepas perlumbaan berakhir.

Menurut anak muda berusia 18 tahun itu, masih ada ruang untuk dia memperbaiki kekurangan dirinya, terutama bagi mencari penyesuaian dengan jentera KTM yang dipacunya.

Katanya lagi, pelarasan jenteranya masih perlu diperbaiki agar lebih mudah untuk dia kendalikan motosikal dalam perlumbaan akan datang di Brazil pada 20-22 Mac ini.

“Saya perlu bekerja keras untuk pusingan berikut, fokus saya adalah kepada gaya tunggangan dan bagaimana untuk memperbaiki ‘braking’ serta cara saya masuk di selekoh,” ujarnya.

Hakim Danish mengakui komunikasinya dengan krew pasukan juga perlu diperbaiki agar keserasian dapat terjalin dengan lebih baik.-UTUSAN

Scroll to Top