Bekas penuntut politeknik dilepas dan dibebaskan

Bekas penuntut politeknik dilepas dan dibebaskan

lokman.khairi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini, melepaskan dan membebaskan seorang bekas penuntut politeknik daripada pertuduhan mengedar ganja seberat 3.4 kilogram (kg), dua tahun lalu.

Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Harith Izzuddin Mohd Hanizam, 23, di akhir kes pendakwaan.

Mengikut pertuduhan, pemuda itu didakwa mengedar dadah berbahaya iaitu kanabis dengan anggaran berat 3.4 kg di kawasan sebuah lobi hotel di Jalan Kuching, Sentul, di sini, pada 26 Februari 2024.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 39(b)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39(b)(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.

Dalam keputusannya, Azhar berkata, mahkamah mendapati terdapat kebergantungan pihak pendakwaan dalam keterangan saksi pendakwaan keempat iaitu seorang pengadu yang juga anggota polis untuk membuktikan elemen pemilikan dadah terbabit.

Beliau berkata, keterangan saksi itu penuh syak wasangka kerana saksi itu tidak bercakap benar mengenai apa yang berlaku selepas tertuduh dan barang-barang kes dadah dibawa balik selepas tangkapan ke balai polis.

Menurut hakim, pengadu mendakwa dia sentiasa berada di balai polis melakukan soal siasat terhadap tertuduh, namun keterangan pegawai penyiasat dalam laporan polis yang dikemukakan pembelaan, membuktikan sebaliknya .

“Saya memutuskan saksi pendakwaan keempat bukan seorang saksi yang boleh dipercayai, oleh itu pendakwaan gagal membuktikan elemen milikan.

“Tanpa pembuktian elemen ini, andaian pengedaran (kanabis) adalah tidak terpakai dan dalam kes ini tidak terdapat keterangan langsung yang dikemukakan untuk menimbulkan elemen pengedaran telah berlaku.

“Oleh yang demikian, saya memutuskan pendakwaan telah gagal membuktikan satu kes prima facie terhadap tertuduh, dengan ini tertuduh dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan ini,” katanya.

Dalam kes itu, seramai lima saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan pada Rabu lalu.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hijrah Wan Abdullah, manakala peguam Datuk Geethan Ram Vincent mewakili tertuduh.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top