Mekanik maut jatuh jambatan ketika cuba keluar dari kereta terbabas

Mekanik maut jatuh jambatan ketika cuba keluar dari kereta terbabas

am@hmetro.com.my

Kota Marudu: Seorang mekanik maut selepas dipercayai terjatuh dari jambatan apabila kereta dipandu terbabas di Jambatan Jalan Kampung Masin, Pitas, awal pagi hari ini.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, mangsa Beriuse Masikah, 41, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan di kepala.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin berkata, pihak polis menerima maklumat mengenai kemalangan jam 1.50 pagi sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa yang memandu Mitsubishi Mirage sedang dalam perjalanan dari arah Kampung Kanibongan menuju ke Kampung Narandang, Pitas.

“Ketika melalui jalan lurus dan gelap di lokasi kejadian, kenderaan dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas di atas jambatan kayu.

“Mangsa dipercayai cuba keluar dari kenderaan namun terjatuh ke bawah jambatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian pada jam 2.45 pagi oleh pegawai perubatan.

“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Pitas untuk bedah siasat,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top