nfazlina@nstp.com.my
Kota Bharu: Kementerian Kesihatan merekodkan 417 jangkitan baharu tuberkulosis (tibi) di seluruh negara pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-7 tahun ini.
Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, jumlah kes berkenaan mencatatkan penurunan 65 kes berbanding minggu sama tahun lalu sebanyak 482 kes.
Katanya, perkembangan itu memberi petanda positif terhadap keberkesanan langkah kawalan dan pencegahan yang dilaksanakan KKM sebelum ini.
“Alhamdulillah, setakat ini tiada kluster baharu dilaporkan dan kes juga menunjukkan trend penurunan.
“Kita berharap ia akan terus konsisten. Walaupun angka menunjukkan penurunan, KKM tidak akan berkompromi dalam aspek pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan jangkitan dapat dikawal sepenuhnya.
“Usaha memperluas saringan awal dalam kalangan kumpulan berisiko serta meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan mendapatkan rawatan segera akan terus diperkasa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selwpas Program Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) – Majlis Iftar Perdana di Masjid Al-Husna di sini, hari ini yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Datuk Dr Mohd Azman Yacob.
Dalam perkembangan lain, Dr Dzulkefly berkata, sebanyak 12 aduan diterima berkaitan kebersihan makanan di bazar Ramadan seluruh negara sehingga semalam.
Katanya, daripada jumlah berkenaan, empat aduan diterima melalui aplikasi whatsAppdan sehingga kini belum ada sebarang kes keracunan makanan.
“Malah, setakat ini juga tiada kompaun dikeluarkan terhadap peniaga bazar Ramadan memandangkan pematuhan peniaga memberangsangkan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




