London: Mikel Arteta berkata, Arsenal gembira menerima gelaran ‘Set-Piece FC’ selepas sekali lagi memanfaatkan kekuatan sepakan sudut untuk mencatat kemenangan penting 2-1 ke atas Chelsea, awal pagi tadi.
Dua tandukan daripada William Saliba dan Jurrien Timber di Stadium Emirates membolehkan Arsenal melebarkan jurang lima mata di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL).
The Gunners kini menjaringkan 16 gol hasil sepakan sudut musim ini sekali gus menyamai rekod tertinggi dalam sejarah EPL yang sebelum ini dicatat oleh Oldham dan West Bromwich Albion.
Tidak hairanlah penyokong Arsenal meraikan kemenangan dengan sorakan, “set-piece sekali lagi, ole, ole”.
Chelsea turut menjaringkan gol daripada sepakan sudut, namun ia hadir menerusi gol sendiri Piero Hincapie yang menanduk masuk hantaran Reece James tepat sebelum tamat separuh masa pertama, sekali gus memadam jaringan pembukaan Saliba.
Ia satu-satunya kecacatan kecil buat Arsenal dalam aspek bola mati, ketika jurulatih set-piece mereka, Nicolas Jover, sekali lagi mengukuhkan reputasinya dengan perancangan taktikal yang berkesan.
Dalam misi memburu kejuaraan liga pertama sejak 2004, kehebatan Arsenal dalam situasi set-piece kini muncul sebagai senjata utama pasukan itu.
Namun, tidak semua pihak teruja dengan pendekatan tersebut.
Bekas penyerang Chelsea, Chris Sutton, mengkritik kebergantungan Arsenal terhadap sepakan sudut.
“Set-piece Arsenal, lagi. Saya rasa mereka akan muncul juara,” katanya kepada BBC Radio Five Live.
“Jika mereka berjaya, adakah ini pasukan juara Liga Perdana yang paling tidak menarik dalam sejarah? Persembahan mereka tidak begitu mengujakan.”
Namun, Arteta tidak mempunyai sebarang keraguan mengenai kepentingan set-piece.
“Kami tahu betapa pentingnya ‘duel’ individu dalam situasi bola mati kerana Chelsea pasukan yang sangat kuat menyerang dan bertahan ketika itu,” kata Arteta. “Sebenarnya, semua pasukan dalam liga ini berkualiti tinggi dalam set-piece. Ia sangat penting.
“Kami pernah kehilangan mata akibat balingan jauh dan kebelakangan ini tidak banyak menjaringkan gol daripada set-piece. Hari ini kami lakukannya. Memiliki pelbagai pilihan seperti ini amat berharga. Kami berada di landasan terbaik.”
Manchester City yang masih mempunyai satu perlawanan dalam tangan dan akan menentang Arsenal pada April, kekal sebagai pencabar utama kejuaraan.
Namun, keyakinan Arteta terhadap strategi set-piece ternyata berasas, memandangkan Arsenal kini bersaing untuk meraih empat trofi musim ini selepas bangkit daripada kemerosotan prestasi dengan menewaskan Tottenham dan Chelsea secara berturut-turut.
“Kami sangat gembira kerana sedar dua perlawanan lalu sangat sukar. Sikap, keinginan untuk menang dan dominasi pasukan sangat memuaskan,” katanya.
“Pada Mac, kami masih bersaing dalam semua kejohanan. Kami berada di kedudukan terbaik.”
Chelsea pula dibolosi sembilan gol daripada set-piece dalam 13 perlawanan pertama di bawah kendalian Liam Rosenior, dengan lima daripadanya hadir menentang Arsenal.
The Blues turut kehilangan Pedro Neto yang dilayangkan dua kad kuning, sekali gus menambah rekod disiplin buruk yang diakui Rosenior perlu “dihapuskan”.
Rosenior kecewa dengan kegagalan pemainnya mengekang ancaman sepakan sudut Arsenal walaupun mereka sudah merangka pelan baharu.
“Untuk bolos dua gol daripada set-piece yang akhirnya menentukan keputusan perlawanan adalah sangat mengecewakan,” katanya.
“Kami juga bolos daripada sepakan sudut ketika menentang Burnley minggu lalu. Ini masalah yang sedang menjejaskan kutipan mata kami.”
Beliau turut mencadangkan badan penggubal undang-undang bola sepak mungkin perlu menilai semula peraturan sedia ada bagi mengekang pasukan seperti Arsenal, yang mahir menggunakan sentuhan fizikal sebelum bola dihantar.
“Peraturan menyatakan tiada kesalahan boleh diberikan ketika bola belum dimainkan, namun banyak berlaku pegangan dan pergelutan sebelum sepakan sudut diambil,” katanya.
“Set-piece sangat penting dalam liga ini. Ia semakin menjadi trend dan perlu diberi perhatian. Namun, kami juga perlu menanganinya dengan lebih baik.”
© New Straits Times Press (M) Bhd




