Juba, Sudan Selatan: Sekurang-kurangnya 169 orang, termasuk dua pegawai kanan tempatan maut dan 50 lagi cedera apabila puluhan lelaki bersenjata dari Unity State menyerang Abiemnom County di Kawasan Pentadbiran Ruweng, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Menteri Penerangan wilayah itu James Monyluak Mijok Thon, memberitahu Anadolu pada Isnin yang penyerang turut membakar pasar dan kediaman semasa serangan pada awal Ahad.
“Dalam pertempuran yang berlangsung tiga hingga empat jam itu, penduduk Ruweng kehilangan Pesuruhjaya Kaunti Awarpiny, Hon. Paulino Wal Monychikat dan Pengarah Eksekutif, Mawien Majith,” katanya.
Thon berkata, tentera berjaya menghalau penyerang keluar dari kawasan itu dan pihak berkuasa Kaunti Abiemnom kini berada di bawah kawalan sepenuhnya.
“Kerajaan Kawasan Pentadbiran Ruweng mengecam tindakan gasar dan dasar pemusnahan ini dengan sekeras-kerasnya. Pembunuhan manusia ini setara dengan genosid dan tidak boleh diterima,” katanya.
Thon turut menyeru Kerajaan Unity State untuk membawa penjenayah ke muka pengadilan dan mahu Pesuruhjaya Kaunti Mayom bertanggungjawab atas serangan bersepadu terhadap orang awam dan kedudukan Pasukan Pertahanan Rakyat Sudan Selatan.
Beliau menekankan yang rakyat Ruweng dan kerajaan mereka tetap komited kepada keadilan, hak asasi manusia dan keamanan.
Sementara itu, Misi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Sudan Selatan (UNMISS) melahirkan kebimbangan terhadap peningkatan keganasan di Abiemnom, Ruweng dalam 48 jam terakhir.
“Awal pagi ini, lelaki bersenjata tidak dikenali menyerang ibu pejabat Kaunti Abiemnom, mencederakan kira-kira 23 orang.
“Sebagai tindak balas terhadap keadaan keselamatan yang merosot, anggota keamanan sementara menempatkan lebih 1,000 orang awam di pangkalan UNMISS di kawasan itu dan memberikan rawatan perubatan kecemasan kepada yang cedera,” menurut kenyataan UNMISS lewat Ahad.
Misi itu juga menyatakan kebimbangan mengenai laporan bahawa puluhan orang awam dan beberapa pegawai tempatan maut dalam pertempuran hari ini.
“Keganasan sebegini meletakkan orang awam dalam risiko serius dan mesti dihentikan segera,” kata Anita Kiki Gbeho, pegawai bertanggungjawab UNMISS.
“Misi ini meningkatkan tahap perlindungan dan bekerjasama dengan Kerajaan Sudan Selatan untuk menyokong usaha segera memulihkan keamanan dan melindungi komuniti yang terjejas.”
Beliau menyeru semua pihak yang terlibat agar menghentikan permusuhan serta-merta dan terlibat dalam dialog konstruktif untuk menyelesaikan masalah mereka.
© New Straits Times Press (M) Bhd




