Akrotiri, Cyprus: Sebuah serangan dron mengenai pangkalan udara British di Cyprus pada waktu malam menyebabkan kerosakan terhad, namun tiada korban, kata pegawai Cyprus dan British pada Isnin.
Ancaman berterusan pada Isnin apabila dua lagi dron yang menuju ke pangkalan Tentera Udara Diraja (RAF) Akrotiri berjaya dipintas.
Penggera amaran berbunyi di pangkalan selepas tengah hari dan saksi Reuters melihat pesawat berlepas.
Difahamkan, serangan malam itu mengenai landasan pangkalan dan menggoncang pulau di timur Mediterranean itu, yang juga destinasi percutian popular.
Pangkalan itu pernah digunakan untuk operasi ketenteraan di Iraq, Syria dan Yaman serta terakhir diserang oleh militan Libya pada 1986.
United Kingdom (UK) memindahkan aset udara tambahan ke Akrotiri sebelum ini sebagai persediaan tindakan Amerika Syarikat (AS) terhadap Iran.
Namun selepas serangan AS dan Israel ke atas Iran, Perdana Menterinya, Keir Starmer membenarkan penggunaan pangkalan untuk serangan defensif terhadap peluru berpandu Iran.
Menteri Luar, Yvette Cooper berkata, AS tidak meminta akses ke Akrotiri dan UK menjadi sasaran oleh Iran.
Sementara itu, Presiden Cyprus, Nikos Christodoulides berkata, dron jenis Shahed menyebabkan kerosakan kecil apabila terhempas ke kemudahan ketenteraan.
Semua perkhidmatan berwibawa Cyprus berada dalam amaran dan kesiapsiagaan operasi sepenuhnya.
Menurut media sama, Greece menghantar dua frigat dan dua jet pejuang F-16 ke Cyprus bagi mempertahankan negara itu jika diserang.
Penduduk kampung Akrotiri melarikan diri dan sebahagian mengambil perlindungan di berek tentera Limassol.
UK mempunyai kira-kira 7,000 anggota tentera dan tanggungan di Cyprus, manakala pangkalan itu juga menempatkan pos pemantauan penting Joint Service Signal Unit di Ayios Nicolaos.
© New Straits Times Press (M) Bhd




