2 didenda RM5,500 sembunyi bayi di tanah perkuburan

2 didenda RM5,500 sembunyi bayi di tanah perkuburan

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Seorang wanita dan rakan lelakinya masing-masing didenda RM5,500 oleh Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan menyembunyikan kelahiran dengan cara menguburkan mayat bayi di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, bulan lalu.

Hukuman itu dijatuhi Majistret Wan Noora Nisa Ngadirin terhadap Nur AtishaBalqis Ismail, 22 dan Muhamad Razi, 26, yang mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara bersama.

Mahkamah turut memerintahkan penjara tambahan enam bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, Nur Atisha dan Muhamad Razi didakwa telah menyembunyikan kelahiran dengan cara menguburkan mayat seorang bayi yang meninggal dunia sama ada sebelum, semasa atau selepas dilahirkan.

Perbuatan itu dilakukan di Tanah Perkuburan Islam, Seskyen 21, kira-kira jam 7 petang pada 17 Februari lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Peguam Hazwan Hassan dalam mitigasi memaklumkan Mohamad Razi hanya bekerja sebagai buruh dengan gaji harian sebanyak RM100.

“Tiada niat sembunyikannya. Bayi itu telah meninggal dunia maka dia mengebumikan di tanah perkuburan tersebut. Ini kesalahan pertamanya dan tertuduh insaf serta harap dikenakan denda sahaja,” katanya.

Sementara, Nur Atisha diwakili peguam Muhamad Saifullah turut memohon hanya dikenakan denda sahaja ekoran anak guamnya adalah pesalah muda dan selain ia kesalahan pertama.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Amirah Zahari memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada kedua-dua tertuduh.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top