CYBERJAYA: Kerajaan mengesahkan lapan Ahli Parlimen tidak hadir pada sesi undian Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh 10 tahun jawatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, lewat petang semalam.
Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Fahmi Fadzil berkata, antara mereka termasuk tiga ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan masing-masing seorang dari Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) serta dua Ahli Parlimen Bebas yang menyokong kerajaan.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, setiap Ahli Parlimen terbabit mengemukakan pelbagai alasan ketidakhadiran termasuk berada di hospital dan ‘tersangkut’ dalam kesesakan lalu lintas.
Ahli Parlimen Libaran Suhaimi Nasir tidak hadir kerana beliau dimasukkan ke hospital, manakala Saravanan perlu menghadiri upacara keagamaan.
“Jadi, kita telah membuat semakan dengan Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) dan juga Pejabat Ketua Whip kita mengenai Ahli Parlimen tidak hadir.
“Dari blok Pakatan Harapan (PH), 100 peratus Ahli Parlimen hadir. Semua hadir dan semua mengundi,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) di Menara 2 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), di sini hari ini.
Berhubung reaksi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof terhadap ketidakhadiran Ahli Parlimen berkenaan, Fahmi berkata, riak wajah Timbalan Perdana Menteri menunjukkan kekecewaan.
“Saya lihat raut wajah beliau, Timbalan Perdana Menteri itu kelihatan sedikit kecewa bahawa lapan Ahli Parlimen tidak ada (dalam Dewan Rakyat),” katanya.
Semalam, Dewan Rakyat tidak meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh 10 tahun jawatan Perdana Menteri.
Ia selepas RUU itu gagal memperoleh sokongan dua pertiga Ahli Parlimen, apabila hanya 146 Ahli Parlimen menyokong, sementara 32 Ahli Parlimen tidak hadir dan 44 Ahli Parlimen berkecuali.
Lapan Ahli Parlimen yang menyokong kerajaan tetapi tidak hadir dalam sesi itu ialah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Datuk Henry Sum Agong (Lawas), Riduan Rubin (Tenom), Datuk Seri Hishammuddin Hussein (Sembrong), Datuk Suhaimi Nasir (Libaran), Datuk Seri M Saravanan (Tapah), Datuk Larry Soon (Julau) dan Datuk Seri Dr Jeffrey@ Kitingan (Keningau). – UTUSAN




